JAKARTA: Pendakwa raya tentera Indonesia hari ini memohon hukuman penjara dua setengah tahun ke atas setiap seorang daripada empat anggota tentera yang didakwa terlibat dalam serangan asid terhadap seorang aktivis hak asasi manusia.
Aktivis berkenaan, Andrie Yunus, 27, daripada kumpulan KontraS, mengalami kecederaan serius selepas diserang dua individu menaiki skuter yang menyimbah asid ke arahnya pada Mac lalu ketika beliau menunggang motosikal.
Menurut laporan, kejadian itu berlaku sejurus beliau selesai merakam sebuah podcast berkaitan dakwaan pengaruh ketenteraan yang semakin meluas dalam pentadbiran kerajaan Indonesia.
Empat anggota Agensi Perisikan Strategik Tentera (BAIS) ditahan, manakala ketuanya, Yudi Abrimantyo, meletakkan jawatan sebagai satu ‘bentuk tanggungjawab’, menurut pihak berkuasa.
Tertuduh, Edi Sudarko, 45, Budi Hariyanto Widhi Cahyono,43, Nandala Dwi Prasetia, 40, dan Sami Lakka, 41,, didakwa atas pertuduhan serangan terancang dalam insiden yang menyebabkan Andrie buta sebelah mata.
Pendakwa raya tentera, Wasinton Marpaung, memberitahu mahkamah tentera di Jakarta tindakan tertuduh merupakan ‘tindakan balas dendam di luar undang-undang yang menyebabkan penderitaan fizikal kepada mangsa serta merosakkan reputasi tentera’.
Pendakwaan berhujah anggota tentera terbabit tidak bertindak atas arahan, sebaliknya atas inisiatif sendiri yang didorong kemarahan terhadap Andrie Yunus dan seorang lagi aktivis selepas mereka mengganggu satu mesyuarat ahli parlimen pada 2025 sebagai protes terhadap pindaan undang-undang tentera Indonesia.
Pindaan yang diluluskan oleh Parlimen pada 2025 itu membolehkan anggota tentera yang masih berkhidmat berkhidmat di 14 kementerian dan institusi kerajaan, meningkat daripada 10 sebelum ini.
Andrie dan kumpulan aktivis lain bagaimanapun meminta supaya perbicaraan kes itu dijalankan di mahkamah sivil, bukan mahkamah tentera, kerana bimbang berlakunya unsur penyembunyian fakta di sebuah negara yang kes serangan terhadap aktivis jarang dihukum.- AFP










