Pencapaian Iran akan dikenang generasi akan datang – Ghalenoei

Pencapaian Iran akan dikenang generasi akan datang – Ghalenoei

Amir Ghalenoei
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei menyifatkan permulaan tanpa kalah pasukannya pada saingan Piala Dunia 2026 sebagai satu pencapaian besar yang akan terpahat dalam sejarah bola sepak negara itu.

Menurutnya, keputusan seri 0-0 menentang Belgium dalam aksi Kumpulan G, semalam, membuktikan semangat juang tinggi pemain Iran walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kejohanan.

“Ia satu pencapaian hebat. Kami telah mengharungi dua perlawanan tanpa kalah di Piala Dunia dalam keadaan yang sangat mencabar.

“Pencapaian ini akan ditulis dalam sejarah bola sepak Iran dan generasi akan datang akan memperkatakannya,” katanya selepas perlawanan di Los Angeles.

Iran tiba ke kejohanan itu ketika ketegangan politik antara Tehran dan Washington masih menjadi perhatian, selain berdepan sekatan visa serta perjalanan yang menjejaskan persiapan pasukan.

Ghalenoei berkata, skuadnya hanya mempunyai masa kurang daripada 16 jam untuk menjalani latihan sebelum bertemu Belgium selepas tidak dibenarkan melakukan perjalanan lebih awal dari kem latihan mereka di Mexico ke Amerika Syarikat (AS).

Sebelum sepak mula, lagu kebangsaan Iran diboo oleh sebahagian penyokong daripada komuniti pelarian Iran di Los Angeles yang menentang kerajaan negara itu.

Bagaimanapun, majoriti penyokong yang memenuhi stadium tetap memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan Iran.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Iran yang hadir memberi sokongan walaupun mempunyai pandangan politik yang berbeza. Mereka memberikan tenaga dan semangat kepada kami,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Belgium terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Nathan Ngoy dilayangkan kad merah pada minit ke-66.

Namun, Ghalenoei mengakui pasukannya bernasib baik kerana tidak tewas memandangkan Belgium yang menghuni ranking ke-10 dunia tetap memberikan tentangan sengit.

“Saya tidak fikir banyak pasukan mampu mengharungi situasi seperti yang kami hadapi dan masih mempamerkan aksi sebegini. Keadaan yang kami lalui amat sukar.

“Pemain-pemain saya memberikan segala-galanya dan beraksi dengan penuh jiwa serta semangat,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan Iran masih berpeluang mencipta sejarah dengan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama.

Iran kini perlu sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam aksi terakhir kumpulan menentang Mesir di Seattle, Jumaat ini.

Sementara itu, pemain tengah Iran, Alireza Jahanbakhsh berkata, semangat berpasukan menjadi kunci utama kejayaan mereka mengharungi dua perlawanan pertama tanpa kalah.

Dia turut mengimbau kegagalan Iran pada edisi lalu apabila tersingkir selepas tewas 0-1 kepada AS dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Kami hampir berjaya pada Piala Dunia lalu, namun gagal pada saat-saat akhir.

“Kini perkara paling penting ialah memastikan kami pulih sepenuhnya dan bersedia menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN