JOHOR BAHRU: Pemimpin parti politik serta ahli dan jenteranya di minta untuk berkempen secara sihat dan menjauhi isu berkenaan 3R sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ketika ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kepimpinan tertinggi parti politik masing-masing diminta sentiasa mengingatkan jentera dan penyokong mereka berhubung perkara berkenaan.
“Kami sebagai pemimpin perlu selalu mengingatkan penyokong kami untuk tidak sentuh isu-isu 3R iaitu berkaitan kaum, agama dan institusi Diraja semasa kempen kita, kita baharu masuk hari kedua PRN Johor.
“Dahulu sudah banyak laporan polis telah dibuat tetapi saya percaya, bahawa kita warga Malaysia, kita bangsa Johor orang berbudi kita berbahasa. Jadi, sama-sama kita jaga pertuturan kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media PRN Johor di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kulai itu, kementerian itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa memantau kandungan di media sosial.
“Sekiranya terdapat provokasi mahupun kenyataan menyentuh isu 3R, kandungan itu akan diturunkan. MCMC dan polis akan selalu pantau, kita bekerjasama dengan agensi-agensi itu untuk turunkan kandungan sedemikian.
“Pada masa yang sama, rakyat Malaysia perlu sentiasa menyemak fakta terhadap sesuatu isu yang diterima mereka sebelum ianya dikongsikan,” katanya.-UTUSAN










