Pemain Senegal perlu miliki mentaliti final berdepan Iraq- Thiaw

Pemain Senegal perlu miliki mentaliti final berdepan Iraq- Thiaw

BINTANG Senegal, Sadio Mane menjadi taruhan utama pasukannya untuk mengegar gawang Iraq, esok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Senegal perlu mencatat kemenangan menjelang aksi menentang Iraq dalam perlawanan terakhir Kumpulan I Piala Dunia 2026, awal pagi esok bagi menghidupkan peluang ke pusingan kedua.

Pengendali Senegal, Pape Bouna Thiaw mengakui skuad kendaliannya berada dalam situasi sukar selepas tewas dalam dua perlawanan pertama kepada Perancis dan Norway, sekali gus gagal mengutip sebarang mata setakat ini.

Menurutnya, perlawanan di Stadium Toronto itu perlu dihadapi dengan mentaliti seperti aksi final kerana hanya kemenangan mampu memastikan harapan Senegal untuk meneruskan saingan terus bernyawa.

“Pasukan ini sangat dahagakan kemenangan dan kejayaan itu amat penting buat negara. Bagi kami, perlawanan menentang Iraq ibarat sebuah final kerana jika mahu kekal dalam kejohanan ini, kami mesti menang.

“Saya tahu ramai menjangkakan kami mampu pergi jauh dalam kejohanan ini. Namun realitinya, kami perlu bangkit segera. Tiada lagi ruang untuk melakukan kesilapan,” katanya pada sidang media, semalam.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Iraq belum tentu menjamin tiket ke pusingan kalah mati buat wakil Afrika Barat itu.

Senegal masih perlu menunggu keputusan kumpulan lain bagi menentukan sama ada mereka mampu muncul sebagai antara lapan pasukan tangga ketiga terbaik yang layak ke pusingan 32 terbaik.

Pertahanan Senegal, Ismail Jakobs, mengakui nasib pasukan tidak lagi berada sepenuhnya di tangan mereka, namun menegaskan semua pemain tetap bertekad memberikan segala-galanya di atas padang.

“Semua pemain mahu terus beraksi di Piala Dunia. Kami tahu situasi yang dihadapi, tetapi tugas kami adalah memastikan kemenangan terlebih dahulu sebelum menunggu keputusan lain,” ujarnya.

Begitupun, Senegal kehilangan penjaga gol utama, Edouard Mendy, yang disahkan tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika aksi menentang Norway.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN