KUALA LUMPUR: PDRM FC tidak mahu lagi dibayangi masalah tunggakan gaji yang menjejaskan prestasi pasukan musim lalu apabila bertekad menyelesaikan sepenuhnya segala liabiliti kewangan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) 2026/2027 membuka tirainya Ogos ini.
Selepas melalui musim yang sukar sehingga menamatkan kempen Liga Super di tangga tercorot, pengurusan skuad The Cops kini meletakkan misi melangsaikan tunggakan sebagai keutamaan utama sebelum memikirkan soal pembentukan pasukan baharu.
Pengurus PDRM FC, Shamshul Hisham Abd. Razak berkata, pihaknya kini sedang berusaha menyelesaikan baki tunggakan gaji pemain yang masih berbaki antara tiga hingga empat bulan selepas berjaya menjelaskan sebahagian besar bayaran sebelum ini.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan pasukan dapat memulakan musim baharu dalam keadaan lebih stabil selain mengembalikan keyakinan pemain terhadap hala tuju kelab.
“Kita kena bayar yang musim lepas dan perlu berpijak di bumi yang nyata mengikut kemampuan kewangan yang ada. Kita akan mengikut saranan dan nasihat kepimpinan atasan untuk memastikan perkara ini dapat diselesaikan.
“Ramai mungkin tidak tahu bahawa kita sebenarnya sudah membayar lapan bulan gaji pemain dan kini hanya berbaki tiga hingga empat bulan sahaja lagi.
“Kalau boleh, saya mahu menjelang Julai nanti kita dapat membersihkan segala tunggakan supaya pasukan boleh fokus sepenuhnya kepada persiapan musim depan.”
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Dinar Emas dan Penyerahan Penajaan PDRM FC di sini semalam.
Isu tunggakan gaji menjadi antara faktor yang membelenggu PDRM sepanjang musim lalu apabila pasukan itu beberapa kali dikaitkan dengan masalah kewangan sehingga memberi kesan kepada prestasi di atas padang.
Berdasarkan keputusan terbaharu Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Financial Fair Play (FFP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), PDRM FC merupakan antara dua kelab yang didapati masih mempunyai tunggakan gaji pemain dan tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan setakat April 2026.
Mengulas perkara itu, Shamshul menjelaskan pengurusan bukan sahaja sedang menyelesaikan tunggakan gaji pemain, malah turut memberi perhatian kepada beberapa komitmen lain termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cukai pendapatan dan pelbagai tanggungan berkaitan.
Katanya, segala liabiliti berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kelab boleh merangka perbelanjaan baharu bagi menghadapi musim akan datang.
“Kita tahu ada pemain sedia ada yang akan berhijrah ke kelab lain. Jadi kalau boleh kita mahu selesaikan semua tunggakan supaya perancangan mereka dan pasukan tidak terganggu.
“Fokus utama sekarang adalah menyelesaikan tunggakan dan mengukuhkan kedudukan kewangan kelab. Ini tahun pertama kita berdepan masalah seperti ini dan sudah tentu kita tidak mahu ia berulang lagi, lebih-lebih lagi kerana kita membawa imej sebuah badan beruniform.”
Dalam perkembangan sama, beliau mengakui suntikan dana yang diterima ketika ini memberikan kelegaan besar kepada pengurusan yang sebelum ini bergelut memastikan operasi pasukan berjalan lancar.
PDRM FC menerima sumbangan kira-kira RM6 juta, namun sebahagian besar dana tersebut akan digunakan terlebih dahulu untuk melangsaikan komitmen tertunggak yang dianggarkan melebihi RM2 juta.
“Baki yang ada akan digunakan untuk persiapan pasukan termasuk latihan dan keperluan menghadapi musim baharu. Alhamdulillah, kita juga mempunyai ramai anggota polis yang bermain bersama pasukan ini,” ujarnya.
Penyelesaian isu tunggakan gaji itu dilihat mampu menjadi titik permulaan kepada usaha membina semula reputasi PDRM FC selepas melalui kempen yang cukup mengecewakan musim lalu.
Dengan hanya mengumpul 11 mata daripada 24 perlawanan dan menamatkan saingan di tangga terakhir Liga Super, The Cops kini sedar bahawa kestabilan kewangan perlu menjadi asas utama sebelum impian untuk kembali bersaing secara kompetitif dapat direalisasikan.-UTUSAN










