PDRM FC, Kelantan TRW didenda RM10,000, KL City dipantau rapat MFL

PDRM FC, Kelantan TRW didenda RM10,000, KL City dipantau rapat MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu tunggakan gaji yang sekian lama menjadi ‘barah’ dalam bola sepak tempatan masih belum menemui titik noktah apabila tiga kelab Liga Super dikenal pasti masih bergelut memenuhi komitmen terhadap pemain dan kakitangan setakat April lalu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi keputusan Mesyuarat Ringkasan Penyerahan Dokumentasi ‘In-Season’ Ke-5 Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Financial Fair Play (FFP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), yang menjadi penilaian terakhir bagi musim 2025-2026 sebelum kelab-kelab beralih ke fasa perancangan musim depan.

Daripada 13 kelab yang dinilai, hanya enam pasukan berjaya mencapai pematuhan penuh tanpa sebarang tunggakan gaji atau tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, DPMM FC dan Imigresen FC.

“Kuala Lumpur City FC masih berdepan masalah tunggakan gaji kepada pekerja selain tunggakan kepada agensi kerajaan dan kelab itu kini berada dalam pemantauan rapi pihak FIB dan FFP MFL.

“PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors(TRW) FC juga mempunyai tunggakan gaji dan tunggakan kepada agensi kerajaan, malah mereka turut dikenakan denda RM10,000 setiap satu selepas didapati gagal mengemukakan dokumentasi lengkap bagi penyerahan “In-Season” kelima,” kata Pengerusi FIB FFP MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam satu kenyataan, semalam.

Susulan itu, PDRM FC dan Kelantan TRW FC diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan dokumen tertunggak serta mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian terhadap segala tunggakan yang direkodkan sehingga April 2026.

Tambah Sheikh Mohd Nasir, penilaian yang dilakukan bukan sekadar melihat aspek pelesenan kelab semata-mata, sebaliknya turut menilai tahap disiplin kewangan semasa setiap pasukan.

Jelasnya, pematuhan terhadap salah satu kerangka itu tidak bermakna sesebuah kelab secara automatik memenuhi syarat bagi kerangka yang lain.

“Pelesenan Kelab dan FFP merupakan dua kerangka peraturan yang berbeza, dengan mekanisme, kriteria penilaian, tempoh pelaporan serta tarikh akhir penyerahan yang berbeza.

“Oleh yang demikian, pematuhan terhadap satu kerangka tidak secara automatik dianggap sebagai pematuhan terhadap kerangka yang lain, dan kelab dikehendaki memenuhi keperluan kedua-dua proses tersebut secara berasingan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Sabah FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC dilaporkan tidak mempunyai tunggakan gaji kepada pekerja, namun masih memiliki tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan dan akan menerima peringatan rasmi daripada MFL.

Penemuan terbaharu itu sekali lagi membuktikan bahawa isu kewangan masih menjadi cabaran besar dalam landskap bola sepak tempatan meskipun pelaksanaan FFP diperkenalkan bagi meningkatkan disiplin kewangan kelab.

Keputusan terbaharu itu menunjukkan bahawa walaupun semakin banyak kelab berjaya memperkemaskan pengurusan kewangan mereka namun isu tunggakan gaji masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya meskipun pelaksanaan FFP diperkenalkan bagi meningkatkan disiplin kewangan pasukan bertanding.

Dengan musim 2026-2027 bakal kembali pada Ogos ini, tahap pematuhan kewangan bakal menjadi ukuran penting bagi menentukan kredibiliti dan kelangsungan sesebuah kelab dalam era bola sepak profesional yang semakin menuntut akauntabiliti tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN