NEW YORK: Ketika kebanyakan pasukan memberi tumpuan kepada taktikal dan kecergasan, Norway mengambil pendekatan berbeza dalam usaha memburu kejayaan di Piala Dunia 2026 apabila sanggup menerbangkan lebih 400 kilogram (kg) bekalan makanan khas dari tanah air mereka ke Amerika Syarikat.
Daripada bergantung kepada hidangan tempatan atau rangkaian makanan segera, skuad kendalian Stale Solbakken memilih untuk mengekalkan diet tradisional Nordic yang menjadi sebahagian daripada rutin harian pemain, termasuk bintang sensasi mereka, Erling Haaland.
Menurut laporan media Norway, News18, sebanyak 300kg ikan salmon Atlantik dan ikan putih, 116kg keju tradisional Brunost serta 6,000 biji oren dibawa khas ke kem latihan pasukan bagi memastikan pemain terus menikmati menu yang biasa mereka ambil di negara sendiri.
Misi besar itu dikendalikan oleh chef berpengalaman, Aron Espeland yang sudah berkhidmat bersama skuad kebangsaan Norway selama 35 tahun. Beliau bertanggungjawab menyediakan menu harian yang dirancang khusus bagi mengekalkan tahap tenaga dan kecergasan pemain sepanjang kejohanan.
Menurut Espeland, Haaland dan rakan sepasukannya akan menikmati empat hidangan ringan setiap hari berasaskan makanan tradisi Norway, selain menu utama yang disediakan mengikut keperluan nutrisi atlet bertaraf dunia.
“Perancangan ini dibuat untuk mengelakkan masalah penghadaman yang boleh berlaku akibat perubahan mendadak dalam corak pemakanan ketika berada di luar negara. Kami mahu pemain berada pada tahap terbaik setiap hari,” katanya.
Komitmen tinggi terhadap aspek pemakanan turut menyaksikan pemain Norway mengenakan disiplin ketat terhadap diri sendiri dengan mengelakkan kunjungan ke restoran makanan segera popular seperti McDonald’s dan Taco Bell sepanjang kejohanan berlangsung.
Pendekatan profesional itu setakat ini membuahkan hasil apabila Norway memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Iraq, termasuk dua jaringan daripada Haaland pada penampilan sulungnya di pentas terbesar bola sepak dunia.
Kini, skuad Scandinavia itu bersedia meneruskan cabaran menentang Senegal dalam aksi kedua kumpulan sambil membawa bersama satu “senjata rahsia” yang mungkin tidak dimiliki pasukan lain — bekalan salmon yang cukup untuk memberi tenaga kepada impian mereka memburu sejarah.
Fakta Menarik Bekalan Makanan Norway
Salmon Atlantik dan ikan putih: 300kg
Keju Brunost: 116kg
Oren: 6,000 biji
Menariknya, jika Norway mara sehingga ke final pada 19 Julai nanti, setiap seorang daripada 26 pemain dalam skuad itu perlu memakan kira-kira tujuh biji oren sehari untuk menghabiskan keseluruhan bekalan yang dibawa dari tanah air mereka.-AGENSI










