WELLINGTON: Ujian peluru berpandu balistik China dan pergerakan operasi tentera lautnya dijangka menjadi ‘ciri berterusan’ di rantau Pasifik ketika Beijing memperluaskan kehadiran keselamatan strategiknya, menurut pegawai New Zealand dalam satu dokumen dalaman yang diperoleh AFP.
Amaran itu terkandung dalam laporan Disember 2025 oleh Angkatan Pertahanan New Zealand dan Kementerian Luar Negeri ketika mereka memantau sebuah flotila Tentera Laut Pembebasan Rakyat (PLA) di Laut Filipina.
“Pegawai New Zealand berada dalam hubungan rapat dengan rakan sejawat di Australia dan mengekalkan kesedaran situasi terhadap kapal-kapal ini,” menurut dokumen tersebut yang diperoleh di bawah undang-undang kebebasan maklumat.
Laporan itu berkata, New Zealand menjangkakan tindakan China, termasuk pergerakan kumpulan tugas PLA-N di Laut Tasman pada Februari serta pelancaran peluru berpandu balistik antara benua ke Pasifik pada September 2024, akan terus membentuk persekitaran strategik rantau berkenaan.
Dokumen setebal 15 muka surat itu dihantar kepada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, serta menteri pertahanan, luar negeri dan perisikan negara tersebut.
China menyalurkan berbilion dolar AS ke dalam pertahanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, satu trend yang membimbangkan beberapa kerajaan walaupun Beijing menegaskan bahawa tujuannya adalah bersifat aman.
Tentera laut negara itu khususnya berkembang dengan pesat ketika pemimpin China berusaha memperluaskan pengaruh negara itu di Pasifik, kawasan yang sekian lama didominasi oleh kuasa ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
Kebimbangan Wellington terhadap pergerakan ketenteraan China turut meningkat susulan penempatan tiga kapal perang China di Laut Tasman antara Australia dan New Zealand pada Februari 2025.
Sebahagian besar laporan yang diperoleh AFP disunting (dilindungi), dengan alasan privasi, keselamatan negara dan kerahsiaan.
Bagaimanapun, dalam bahagian yang tidak disunting, pegawai berkata penempatan China di Laut Tasman pada Februari 2025 dijalankan selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
“Ini termasuk cara kumpulan tugas tersebut memaklumkan hasrat mereka untuk menjalankan latihan tembakan hidup, yang menurut kami tidak selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan menyebabkan beberapa penerbangan komersial menukar laluan,” kata laporan itu.
Penempatan China pada Disember di Laut Filipina selaras dengan peluasan berperingkat kehadiran keselamatan maritim China di Pasifik Selatan sepanjang dekad lalu, menurut laporan berkenaan.
Kapal sokongan angkasa direka untuk menjejak pelancaran roket, satelit dan aktiviti peluru berpandu antara benua.
Angkatan Pertahanan New Zealand tidak mendedahkan jenis salah satu kapal tentera laut China yang dikerahkan ke Pasifik Selatan, dengan alasan ia ‘berkemungkinan menjejaskan keselamatan atau pertahanan New Zealand’.
Ia juga enggan mendedahkan butiran mengenai bagaimana New Zealand akan bertindak balas atas sebab yang sama.










