Neuer umum persaraan kali kedua

Neuer umum persaraan kali kedua

PENJAGA gol berpengalaman Jerman, Manuel Neuer mengesahkan dirinya akan menamatkan karier antarabangsa selepas berakhirnya Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WINSTON-SALEM: Penjaga gol berpengalaman Jerman, Manuel Neuer mengesahkan Piala Dunia 2026 akan menjadi pentas terakhirnya bersama skuad kebangsaan, sekali gus menutup tirai karier antarabangsa yang sarat dengan kejayaan dan pencapaian cemerlang.

Neuer, 40, sebelum ini mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa selepas Euro 2024, namun kembali menyarung jersi kebangsaan apabila dipanggil semula susulan prestasi cemerlang bersama Bayern Munich pada separuh kedua musim lalu.

Bekas kapten Jerman itu kini beraksi dalam Piala Dunia kelimanya dan terus menjadi tonggak utama di benteng terakhir pasukan yang sedang memburu kejayaan di Amerika Utara.

“Saya bersara pada 2024 atas sebab yang tepat selepas Euro di laman sendiri. Ia keputusan yang betul dan ketika itu saya merasakan masanya sudah tiba.

“Namun, bagi saya ini adalah kejohanan terakhir. Saya tidak merancang untuk berada di Euro akan datang dan sejak beberapa hari lalu saya mula menerima hakikat bahawa inilah perlawanan terakhir saya bersama Jerman,” katanya.

Penjaga gol yang membantu Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 di Brazil itu menegaskan fokusnya ketika ini hanya terarah kepada misi pasukan dalam kejohanan, tanpa mahu terlalu memikirkan detik perpisahan yang semakin hampir.

Menurut Neuer, keutamaannya adalah membantu Jerman melangkah sejauh mungkin selepas skuad itu melalui dua kempen mengecewakan apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022.

“Matlamat utama kami adalah mara ke pusingan kalah mati. Kami tidak mahu terus melihat ke belakang, sebaliknya memberi tumpuan kepada apa yang boleh dicapai sekarang,” katanya.

Jerman kini berada dalam kedudukan terbaik dalam Kumpulan E selepas membelasah Curacao 7-1 pada aksi pembukaan, manakala kemenangan ke atas Ivory Coast hujung minggu ini bakal mengesahkan tempat mereka ke pusingan seterusnya lebih awal.

Neuer turut menyifatkan peluang kembali beraksi di pentas terbesar dunia pada usia 40 tahun sebagai satu penghormatan yang cukup bermakna, sambil menegaskan beliau hanya akan terus bermain selagi masih mampu memberikan sumbangan kepada pasukan.

“Berada di sini sekali lagi adalah satu hadiah yang sangat istimewa. Saya amat menghargai setiap detik dan mahu membantu pasukan mencapai sesuatu yang besar,” katanya.

Sekiranya Jerman mampu melangkah jauh dalam kejohanan kali ini, ia bakal menjadi penutup sempurna buat karier antarabangsa Neuer yang diiktiraf sebagai antara penjaga gol terbaik dalam sejarah bola sepak dunia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN