PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah-19 tahun(B-19) negara, Nafuzi Zain tetap berdiri teguh di belakang anak buahnya dan enggan meletakkan kesalahan di bahu pemain walaupun impian skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara untuk mara ke separuh akhir Kejuaraan B-19 ASEAN berkecai.
Katanya, kekalahan 3-2 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Madya 1, Medan, Indonesia semalam bukanlah kegagalan yang perlu diratapi, sebaliknya pengalaman berharga yang mampu mematangkan barisan pemain muda negara.
Malaysia yang hanya memerlukan keputusan positif untuk meneruskan kemaraan memberikan tentangan sengit apabila berjaya mengimbangi permainan pada separuh masa pertama yang berakhir 2-2.
Namun, sepakan penalti yang disempurnakan Pichaiya Kongsri pada minit ke-80 memusnahkan harapan Harimau Muda sekali gus membuka laluan Thailand ke pentas separuh akhir.
Nafuzi berkata, kesilapan yang berlaku dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti itu adalah perkara biasa bagi pemain muda yang masih berada dalam proses pembelajaran dan pembangunan.
“Pemain sudah memberikan komitmen terbaik. Mereka bermain dengan baik dan menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Malangnya kami dihukum menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan. Dalam kejohanan peringkat umur, kesilapan seperti ini boleh berlaku kerana tekanan dan rasa gementar.
“Ini sebahagian daripada proses yang perlu mereka lalui dan saya yakin pengalaman ini akan menjadikan mereka pemain yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Dalam masa sama, Nafuzi mahu episod pahit di Medan dijadikan pemangkin untuk bangkit lebih kuat menjelang cabaran seterusnya dalam Kelayakan Piala Asia B-19 yang dijadual berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September depan.
Katanya, skuad negara tidak mempunyai banyak masa untuk meratapi kegagalan dan perlu segera mengalihkan fokus kepada misi yang lebih besar.
“Kelayakan Piala Asia adalah saingan yang lebih mencabar. Kami perlu memperkemaskan segala aspek dan membuat persiapan yang lebih rapi.
“Saya harap pemain menjadikan pengalaman ini sebagai motivasi untuk terus berkembang dan tampil lebih bersedia pada tugasan akan datang,” katanya. – UTUSAN










