PETALING JAYA: Imigresen FC menagih kepakaran jurulatih kelahiran Yugoslavia, Mehmed Durakovic untuk mengemudi pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.
Semalam, nama Durakovic diumumkan secara rasmi sebagai pengendali baharu Imigresen FC bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh bekas pengendali, Yusri Che Lah.
“Imigresen FC secara rasminya mengumumkan pelantikan Mehmed Durakovic sebagai ketua jurulatih baharu bagi mengharungi musim 2026/2027,” umum pasukan itu di media sosialnya.
Selain itu, Imigresen menaruh kepercayaan terhadap pengalaman luas yang dimiliki Durakovic untuk membimbing pasukan pada musim hadapan.
Dalam masa sama, kelab itu turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Yusri atas komitmen serta sumbangannya sepanjang musim lalu.
“Kami percaya pengalaman dan kepakarannya mampu membawa dimensi baharu serta meningkatkan tahap prestasi pasukan ke peringkat yang lebih tinggi. Selamat datang ke keluarga IFC, Coach Mehmed!.
“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yusri atas segala jasa dan komitmen beliau bersama pasukan. Perjalanan diteruskan, misi diperhebatkan,” katanya.
Kelibat Durakovic sememangnya cukup dikenali dalam kancah Liga M kerana pernah beraksi sebagai pemain dan juga mengendalikan pasukan di Malaysia.
Bekas pemain import Selangor pada era 1990-an itu meninggalkan impak besar sebagai jurulatih apabila membawa Perak muncul juara Piala Malaysia 2018.-UTUSAN










