PHILADELPHIA: Bintang Perancis, Kylian Mbappe tidak terlalu memikirkan rekod jaringan Piala Dunia meskipun terus menambah koleksi dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Iraq 3-0 dalam aksi Kumpulan I, semalam.
Pertemuan yang berlangsung di hadapan lebih 68,000 penonton itu terpaksa dihentikan seketika pada separuh masa apabila hujan lebat melanda Philadelphia, sekali gus menjadikan perlawanan berakhir lebih lewat.
Mbappe menjaringkan dua gol pada penampilan ke-100 bersama skuad Les Bleus, manakala satu lagi gol disumbangkan Ousmane Dembele dalam aksi yang menyaksikan Perancis kekal cemerlang di peringkat kumpulan.
“Ia adalah hari yang sangat panjang. Dari segi emosi, ia sangat sukar kerana kami perlu kekal fokus di bilik persalinan hampir dua jam,” kata Mbappe.
Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps turut mengakui keadaan luar biasa itu mencabar persiapan pasukannya, namun memuji sikap pemain yang kekal tenang sepanjang penangguhan perlawanan.
“Ini adalah isu keselamatan dan kami menyesuaikan diri dengan keadaan. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Kami kekal tenang dan pemain berjaya mengawal situasi dengan baik,” katanya.
Mbappe kini mengumpul 16 gol Piala Dunia, menyamai rekod legenda Jerman, Miroslav Klose sebelum rekod itu dileburkan Lionel Messi yang kini memiliki 18 gol selepas meledak dua gol dalam aksi Argentina menentang Austria.
Bagaimanapun, penyerang Real Madrid itu menegaskan fokus utamanya bukan kepada pencapaian individu sebaliknya kejayaan pasukan.
“Saya tidak memikirkan perkara itu sekarang. Keutamaan adalah pasukan,” katanya.
Dengan kemenangan tersebut, Perancis sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan 32 selepas mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, selain Norway turut mengiringi mereka ke peringkat seterusnya selepas menewaskan Senegal 3-2.
Perancis akan menentang Norway dalam aksi terakhir kumpulan bagi menentukan kedudukan juara kumpulan, namun Les Bleus dijangka hanya memerlukan keputusan seri untuk kekal di tangga teratas berdasarkan perbezaan gol.
Iraq pula kini berada dalam keadaan terdesak dan perlu menewaskan Senegal dalam aksi terakhir kumpulan bagi mengekalkan peluang mara sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik, selepas mengalami lima kekalahan dalam dua kejohanan Piala Dunia.- AGENSI










