MIAMI: Pengendali Portugal, Roberto Martinez mempertahankan keputusannya menurunkan kapten, Cristiano Ronaldo selama 90 minit penuh ketika seri tanpa jaringan menentang Colombia dalam aksi terakhir Kumpulan K Piala Dunia 2026.
Martinez menegaskan, bintang berusia 41 tahun itu masih berada pada tahap fizikal dan mental terbaik, sekali gus menepis kritikan yang mempersoalkan sumbangannya terutama dalam fasa bertahan.
“Jelas kami tidak membandingkan pemain kami dengan pasukan lain untuk membuat keputusan. Itu tidak profesional,” tegasnya.
Dalam perlawanan itu, beberapa bintang utama seperti Lionel Messi dan Erling Haaland direhatkan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, namun Ronaldo tetap diturunkan dari awal hingga wisel penamat.
Menurut Martinez, setiap keputusan dibuat berdasarkan analisis data prestasi semasa perlawanan serta keperluan taktikal posisi masing-masing.
“Cristiano sentiasa berada di tempat yang betul pada masa yang tepat. Ia soal disiplin dan kekuatan mental,” katanya.
Beliau turut menegaskan tiada isu kecergasan melibatkan Ronaldo, malah membuka kemungkinan perubahan strategi pada perlawanan seterusnya.
Portugal mara ke pusingan 32 terbaik selaku naib juara Kumpulan K dan bakal menentang Croatia pada Khamis ini.
Perlawanan itu turut membawa makna emosi apabila berlangsung sehari sebelum ulang tahun pemergian bekas penyerang Portugal, Diogo Jota.
Jota diberi penghormatan sebelum sepak mula apabila wajahnya dipaparkan di skrin stadium, dengan Martinez menyifatkan momen itu sebagai sumber inspirasi skuadnya.
“Setiap hari kami merinduinya. Dia simbol dan inspirasi besar kepada pasukan ini. Kami mahu menjuarai Piala Dunia untuknya,” katanya.-AGENSI










