RIJEKA: Penyerang berpengalaman Belgium, Romelu Lukaku membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak gol sebaik kembali menyarung jersi kebangsaan selepas lebih setahunmembantu Belgium menewaskan Croatia 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa semalam.
Gol Lukaku pada minit ke-96 bukan sahaja melengkapkan kemenangan Belgium di Rijeka, malah dianggap suntikan moral penting buat skuad kendalian Rudi Garcia menjelang saingan Piala Dunia 2026.
Kapten Belgium, Youri Tielemans menyifatkan jaringan itu sebagai perkembangan terbaik buat pasukan yang bakal memulakan kempen Piala Dunia menentang Egypt pada 15 Jun ini.
“Ini sesuatu yang ideal buat Romelu, tetapi juga ideal untuk pasukan. Kami tahu betapa pentingnya dia dalam pasukan ini.
“Dia kelihatan tajam dan dari segi mental juga berada dalam keadaan baik. Kami sangat memerlukannya dalam kejohanan nanti,” kata pemain tengah Aston Villa itu.
Lukaku, 33, tidak beraksi bersama Belgium sejak September tahun lalu akibat kecederaan, selain hanya mengumpul 64 minit permainan bersama Napoli musim ini kerana masalah pinggul.
Dalam perlawanan itu, Belgium terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Tielemans pada minit ke-38 selepas menguasai sebahagian besar babak pertama.
Croatia yang turun dengan barisan kuat diketuai legenda tengah, Luka Modric, hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat, namun percubaannya berjaya dinafikan pertahanan pelawat.
Selepas bersambung, Croatia meningkatkan tekanan dan hampir memperoleh gol menerusi Ante Budimir, namun tandukannya sekadar menggegarkan palang pada minit ke-59.
Ketika tuan rumah semakin buntu mencari gol penyamaan, Lukaku yang dimasukkan dari bangku simpanan tampil menutup cerita apabila menyempurnakan peluang pada masa kecederaan untuk gol antarabangsa ke-90 peribadinya.
Belgium akan meneruskan persiapan terakhir mereka dengan menentang Tunisia Sabtu ini, manakala Croatia bakal melayan kunjungan Slovenia sebelum membuka kempen menentang England pada 17 Jun. – AGENSI










