Liverpool lantik Iraola sebelum Piala Dunia 2026

Liverpool lantik Iraola sebelum Piala Dunia 2026

Andoni Iraola disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan Arne Slot selepas membawa Bournemouth layak ke pentas Eropah buat kali pertama dalam sejarah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Liverpool dilaporkan sedang berbincang syarat-syarat peribadi dengan Andoni Iraola ketika kedua-dua pihak mahu memuktamadkan pelantikan itu sebelum Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

Iraola muncul calon utama mengisi jawatan pengurus di Anfield selepas Liverpool memecat Arne Slot pada Sabtu lalu meskipun berjaya membawa kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertamanya tahun lalu.

Liverpool sudah mengemukakan tawaran awal kepada jurulatih berusia 43 tahun itu yang meninggalkan Bournemouth bulan lalu selepas membantu kelab berkenaan menamatkan saingan di tangga keenam liga dan layak ke Liga Europa.

Perbincangan dijangka diteruskan minggu ini dengan kedua-dua pihak positif mampu mencapai persetujuan dalam masa terdekat.

Pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes mengetuai rundingan selepas beliau sebelum ini membawa Iraola ke Bournemouth sebelum berpindah ke Anfield pada tahun 2024.

Iraola juga dikatakan berpotensi membawa bekas pertahanan Bournemouth, Tommy Elphick ke Liverpool selepas jurulatih itu menolak peluang menjadi pengendali Bristol City.

Bekas pengendali Rayo Vallecano itu turut dikaitkan dengan beberapa kelab lain sejak mengumumkan keputusan meninggalkan Bournemouth pada April lalu.

Crystal Palace dan Chelsea antara kelab yang dilaporkan mengadakan perbincangan dengannya, selain Bayer Leverkusen dan AC Milan yang turut menunjukkan minat.

Sementara itu, kapten Liverpool Virgil van Dijk mengucapkan penghargaan kepada Slot menerusi media sosial selepas pemergian pengurus Belanda itu.

“Kami tidak akan melupakan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim pertama bersama.Terima kasih jurulatih dan semoga berjaya untuk anda serta keluarga,” kata Van Dijk 

Dalam perkembangan lain, Liverpool mengesahkan pertahanan Ibrahima Konate akan meninggalkan kelab itu selepas kontraknya tamat hujung musim ini.

Konate, 27, menyertai Liverpool dari RB Leipzig pada 2021 dan membuat 183 penampilan selain memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA serta dua Piala Liga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN