Kone berisiko patah kaki kerana terjahan keras pemain Qatar

Kone berisiko patah kaki kerana terjahan keras pemain Qatar

PEMAIN Kanada, Ismael Kone diusung keluar selepas dipercayai mengalami kecederaan patah kaki ketika menentang Qatar dalam Kumpulan B Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Pengendali Kanada, Jesse Marsch memaklumkan pemain tengah, Ismael Kone kini berada di hospital dan disyaki mengalami patah kaki ketika aksi kedua Kumpulan B menentang Qatar.

Perlawanan itu menyaksikan Kanada merekodkan kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar, awal pagi tadi namun insiden ngeri itu sedikit sebanyak merencat kegembiraan pasukan.

Kone diusung keluar selepas terjahan keras pemain tengah Qatar, Assim Madibo pada minit ke-51 di Stadium BC Place, Vancouver.

Marsch berkata semua orang yang berada di bangku simpanan Kanada menyedari betapa serius kecederaan yang dialami Kone.

“Ia berlaku betul-betul di hadapan kami dan semua orang boleh mendengar bunyi tulangnya patah.

“Saya belum bercakap dengan Ismael, tetapi dia berada di hospital. Dia sedang bersedia untuk menjalani pembedahan. Saya akan melawatnya selepas sidang media ini. Kami akan melihat dengan lebih lanjut apakah keputusan terbaik untuk rawatannya.

“Semua orang terkejut dengan apa yang berlaku kerana kecederaan itu dan juga kerana Ismael sebahagian besar daripada semangat pasukan kami. Kehilangannya akan memberi kesan besar kepada kami,” kata Marsch.

Kone, 24 tahun, yang beraksi dengan kelab Serie A Itali, Sassuolo, sempat melambai tangan kepada penyokong ketika diusung keluar sambil menerima bantuan oksigen.

“Dia melambai kepada penyokong dan seolah-olah cuba menenangkan semua orang walaupun dirinya cedera. Itu benar-benar menggambarkan peribadi Ismael,” tegas Marsch.

Marsch turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap reaksi individu di bangku simpanan Qatar yang membantah keras selepas Madibo dilayangkan kad merah.

Pada awalnya, Madibo hanya diberikan kad kuning sebelum keputusan itu diubah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Biar saya jelaskan, pemain itu sudah memohon maaf kepada Ismael. Dia datang ke bilik persalinan dan meminta maaf. Ismael memaklumkan perkara itu kepada pasukan.

“Namun, saya tidak faham mengapa seluruh bangku simpanan mereka bertindak seperti mahu mencetuskan pergaduhan kerana keputusan kad merah itu, sedangkan satu kekasaran yang jelas berlaku sehingga menyebabkan kaki seorang pemain patah. Itu satu tingkah laku yang pelik,” jelas Marsch.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN