Kastam Johor gagalkan cubaan seludup RM8.51 juta rokok tidak bercukai - Utusan Malaysia

Kastam Johor gagalkan cubaan seludup RM8.51 juta rokok tidak bercukai

AMINUL IZMEER Mohd. Sohaimi (tengah) menunjukkan sebahagian daripada rokok putih bernilai RM8.51 juta yang berjaya dirampas pada sidang media di Menara Kastam, Johor Bahru disini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok putih bernilai RM8.51 juta melibatkan duti dan cukai dari Vietnam menuju ke Liverpool, bulan lalu.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, kegiatan tersebut digagalkan pihaknya menerusi pemeriksaan terhadap sebuah kontena berukuran 40 kaki di sebuah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, 18 Mei lalu.

“Pemeriksaan dibuat menemukan 9.32 juta batang rokok putih pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM2.143 juta, melibatkan anggaran duti dan cukai sebanyak RM6.365 juta. Anggaran keseluruhan bernilai RM8.51 juta.

“Semakan mendapati kontena tersebut telah diikrarkan sebagai membawa ‘Base Paper Reels’ dan sedang dalam perjalanan ke destinasi akhir di Eropah,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Negeri Johor, di sini hari ini.

Tambah Aminul Izmeer, rampasan berkenaan merupakan rampasan terbesar dibuat JKDM Johor melibatkan rokok bagi tahun ini.

“Kami masih menjalankan siasatan untuk mengesan sindiket yang terlibat serta pemilik premis gudang berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan tidak benar yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN