Jepun sasar juara kumpulan

Jepun sasar juara kumpulan

Hajime Moriyasu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu tekad untuk menewaskan Sweden dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Piala Dunia di Stadium Dallas, hari ini dalam usaha mereka untuk muncul juara kumpulan.

Menurut Moriyasu, kemenangan menjadi keutamaan walaupun keputusan seri sudah memadai untuk melayakkan Jepun ke pusingan seterusnya.

“Bagi objektif kami, kami mahu menang dan layak di tempat pertama,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.

Jepun kini berada dalam saingan sengit bersama Belanda yang turut mengumpul empat mata, namun dipisahkan menerusi jumlah jaringan. Keputusan perlawanan antara Belanda dan Tunisia juga dijangka mempengaruhi kedudukan akhir kumpulan.

Jika Jepun berjaya menamatkan saingan di tempat pertama, mereka dijangka berdepan Maghribi di Monterrey, manakala naib juara kumpulan akan menentang juara lima kali dunia, Brazil di Houston pada aksi pusingan 32.

Moriyasu menyifatkan bermain di Monterrey sebagai satu kelebihan kerana pasukannya sudah biasa dengan suasana stadium tersebut hasil kem latihan pra-kejohanan dan perlawanan persahabatan di venue berkenaan.

“Kami sudah biasa dengan keadaan padang dan suasana di sana, jadi ia satu kelebihan jika dapat bermain di Monterrey,” katanya.

Dalam masa sama, dia mengakui Sweden bukan lawan mudah meskipun tewas besar kepada Belanda sebelum ini. Sweden dibarisi penyerang berbahaya seperti Alexander Isak dan Viktor Gyokeres.

“Sweden pasukan yang kuat, kukuh di pertahanan dan pantas dalam serangan. Ia bukan perlawanan mudah,” katanya.

Moriyasu turut berharap barisan pertahanannya mengambil peluang menimba pengalaman berdepan penyerang bertaraf dunia tersebut sebagai persediaan masa depan.

Jepun sebelum ini mencatat keputusan seri 2-2 menentang Belanda dan menang besar 4-0 ke atas Tunisia, sekali gus mengekalkan peluang cerah untuk mara sebagai juara kumpulan.

Mereka pernah empat kali layak ke peringkat kalah mati Piala Dunia, namun masih belum berjaya melangkah ke suku akhir selepas tewas kepada Croatia menerusi penentuan penalti pada edisi 2022. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN