BEIRUT: Israel dan Hizbullah bersetuju untuk memperbaharui gencatan senjata yang rapuh di Lubnan semalam, selepas 24 jam keganasan yang menimbulkan cabaran awal kepada perjanjian baharu antara Amerika Syarikat (AS)-Iran bagi menamatkan konflik.
Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat antara Washington dan Teheran di Switzerland bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian baharu itu dibatalkan selepas Hizbullah membunuh empat tentera Israel, manakala Israel melancarkan gelombang serangan udara balas di selatan Lubnan dan Lembah Bekaa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 47 orang.
Rundingan itu bermula di kampung Obbürgen, Switzerland, dua hari selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang membuka tempoh 60 hari untuk merundingkan penyelesaian kekal berhubung program nuklear Iran, selain memastikan laluan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz kembali lancar.
MoU itu turut menggesa penamatan permusuhan di semua medan konflik, termasuk di Lubnan.
Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, pada Jumaat memberi amaran terhadap sebarang pelanggaran perjanjian itu dan mengancam akan memberikan ‘tindak balas tegas terhadap musuh’.
Keganasan yang kembali memuncak serta pertikaian diplomatik berhubung rundingan yang dirancang itu menambahkan ketidaktentuan mengenai sama ada perang serantau yang mengorbankan sekurang-kurangnya 7,000 nyawa, melonjakkan harga tenaga dan mengancam kestabilan ekonomi global dapat ditamatkan secara muktamad.
Presiden Donald Trump sekali lagi mempertahankan perjanjian itu selepas menerima kritikan di Washington, termasuk daripada beberapa sekutunya dalam Parti Republikan di Kongres yang mempersoalkan sama ada beliau terlalu banyak berkompromi untuk menamatkan perang yang tidak popular dalam kalangan kebanyakan rakyat Amerika menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini.
“Perang itu melemahkan Iran! Kami tidak berunding kerana terdesak, Iran yang terdesak. Mereka sudah tewas! Kami akan meneruskan tempoh 60 hari itu. Mereka tidak akan menerima sebarang wang, walau satu sen pun!” tulisnya dalam hantaran di media sosial pada Jumaat.
Lubnan kini muncul sebagai titik panas yang berpotensi menggagalkan usaha Trump untuk mengeluarkan AS daripada konflik tersebut, sekali gus menimbulkan kekecewaan kepada presiden itu yang sebelum ini mengkritik Israel dan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu.
Pertempuran terbaharu antara Israel dan Hizbullah, yang mempunyai hubungan rapat dengan Teheran, disifatkan sebagai yang paling ganas sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Hizbullah melancarkan beberapa siri serangan roket dan dron ke arah tentera Israel berhampiran bandar Nabatieh di selatan Lubnan pada waktu malam selepas serangan meriam Israel yang berlaku secara berselang-seli sepanjang Khamis.
Israel kemudian bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan udara ke bandar itu dan kawasan sekitarnya yang didakwa menyasarkan kedudukan Hizbullah, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 33 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Menjelang petang, pertempuran dilaporkan reda.
“Jika Hizbullah tidak menyerang kami, maka bagi kami ini bukan masa peperangan,” kata seorang pegawai Israel pada lewat Jumaat.
Dua sumber Hizbullah turut mengesahkan kepada Reuters bahawa satu gencatan senjata baharu dipersetujui.
Ramai penganalisis di Israel percaya Iran akan menjadi lebih kuat hasil perjanjian yang dicapai oleh Trump awal minggu ini, manakala kematian anggota tentera Israel dalam serangan Hizbullah mencetuskan kemarahan di negara itu.











