TEHERAN: Tiga kapal tangki minyak asing diarahkan berpatah balik ke Teluk selepas cuba melalui perairan Selat Hormuz tanpa kebenaran Iran, lapor penyiar rasmi negara itu, IRIB.
Menurut laporan itu, kapal berkenaan cuba menggunakan laluan selatan selat tanpa berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran, sekali gus mencetuskan campur tangan Tentera Laut Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Tentera laut IRGC mengeluarkan amaran kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan kepada semua kapal di Teluk dan laut Oman, dengan menegaskan laluan alternatif baharu untuk merentasi Selat Hormuz, yang diwujudkan tanpa penyelarasan Teheran, adalah haram di sisi undang-undang, tidak boleh diterima dan berbahaya.
Pentadbiran Pengurusan Perairan Teluk Iran secara berasingan memberi amaran pelayaran tanpa kebenaran di luar laluan yang ditetapkan Iran boleh mewujudkan risiko keselamatan dan mengakibatkan kapal terbabit dinafikan perkhidmatan navigasi.
Agensi itu turut menegaskan segala akibat daripada tindakan tersebut akan menjadi tanggungjawab pemilik, pengendali dan nakhoda kapal.- ANADOLU










