HOUSTON: Pengendali Belanda, Ronald Koeman, mengakui kemenangan besar 5-1 ke atas Sweden dalam aksi kedua Kumpulan F Piala Dunia menunjukkan keberkesanan jentera serangan Oranje berfungsi dengan baik.
Keputusan itu juga mencerahkan jalan buat Belanda mara ke pusingan ke-32 untuk terus memburu kejuaraan Piala Dunia.
Pada aksi itu, Belanda memperagakan aksi menyerang yang tajam dan berkesan apabila Brian Brobbey serta Cody Gakpo masing-masing meledak dua gol, manakala pemain gantian, Crysencio Summerville, melengkapkan pesta jaringan di Houston.

Koeman tanpa berselindung memuji gol pembukaan yang terhasil seawal minit kelima menerusi gandingan Gakpo dan Brobbey, menggambarkan apa yang diharapkannya daripada pemain-pemain.
“Gol pertama itu menunjukkan segala yang anda mahu lihat dalam permainan. Hantaran Cody sangat berkualiti dan penyudah Brobbey juga sempurna.
“Ia memberikan permulaan yang hebat dan meningkatkan keyakinan pasukan,” katanya selepas perlawanan.
Pada aksi pembukaan, Belanda terlepas kelebihan dua kali menyaksikan mereka sekadar seri menentang Jepun dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Dallas minggu lalu.
Kemenangan besar ke atas Sweden disifatkan cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan mereka selain memperbaiki perbezaan jaringan.
“Sudah tentu kami memerlukan kemenangan ini. Apabila memulakan kejohanan, anda mahu bermula dengan baik dan keputusan ini memberi ketenangan kepada pasukan.
“Terdapat sedikit tekanan untuk menang kerana kami tidak mahu segala-galanya ditentukan dalam perlawanan terakhir kumpulan,” ujarnya.
Meskipun berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, Koeman menegaskan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
Antara aspek yang diberi perhatian adalah persembahan Donyell Malen yang beraksi di posisi sayap kanan selepas pertukaran taktikal menyaksikan Brobbey dipilih sebagai penyerang utama.
Menurut Koeman, Malen kurang berkesan dalam beberapa situasi bertahan dan digantikan pada waktu rehat oleh Summerville yang sebelum itu mengalami sedikit masalah hamstring.
“Saya fikir Summerville lebih kuat dari aspek pertahanan. Kami sentiasa berbincang dengan pemain mengenai keperluan mengenal pasti perubahan taktikal dengan lebih cepat di atas padang.
“Saya faham pertukaran itu sukar diterima Malen, tetapi ini adalah bola sepak peringkat tertinggi dan apa yang penting adalah prestasi pasukan,” jelasnya.-AFP










