PETALING JAYA: Impian skuad hoki remaja bawah 18 tahun (B-18) kebangsaan untuk melangkah ke pentas akhir lebur selepas tumpas 1-8 kepada Jepun dalam aksi separuh akhir Hoki Piala Asia B-18 , sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan penguasaan mutlak pasukan lawan apabila skuad tuan rumah bermula garang mengasak gawang negara menerusi jaringan pukulan sudut penalti Numada Gaku seawal minit ketujuh.
Jepun terus melebarkan kelebihan pada suku pertama perlawanan apabila Yoshioka Mahiro menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-11.
Selang beberapa saat kemudian, kealpaan barisan pertahanan negara sekali lagi dihukum apabila Dobashi Takuya mudah meledak gol padang ketiga buat tuan rumah.
Takuya sekali lagi mencatatkan nama sebagai penjaring menerusi gol padang pada minit ke-20 selepas bijak menghidu peluang di dalam kawasan kotak penalti Malaysia.
Gawang negara terus bocor seminit kemudian menerusi tindakan penyudah berbisa Inukai Yoga yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-21 untuk gol kelima perlawanan.
Memasuki suku ketiga, gawang Malaysia kian rapuh apabila Mori Tatsuya menjaringkan gol keenam menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44.
Yoga terus menambah derita kem negara apabila meledak gol padang pada minit yang sama bagi memastikan Jepun selesa mendahului dengan jurang gol yang besar.
Skuad negara bagaimanapun berjaya memperoleh gol saguhati menerusi jaringan penalti strok yang disempurnakan oleh Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-47.
Kegembiraan seketika itu tidak bertahan lama apabila Yoga melengkapkan hatrik peribadinya seminit kemudian selepas bijak menyempurnakan peluang penalti strok bagi melengkapkan kemenangan mutlak lapan gol buat Jepun.
Keputusan tersebut menyaksikan Jepun mara ke perlawanan akhir, manakala barisan pemain negara terpaksa melupakan aksi perebutan takhta juara dan bakal turun beraksi untuk penentuan tempat ketiga.










