Hatrik David bantu Kanada pesta gol belasah Qatar

Hatrik David bantu Kanada pesta gol belasah Qatar

PEMYERANG Kanada, Jonathan David (kiri) melakukan rembatan kencang ke gawang Qatar sambil cuba dihadang pertananan lawan pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium BC Place sebentar tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Jonathan David tampil dengan kelas tersendiri apabila meledak hatrik untuk membantu Kanada membelasah Qatar 6-0 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia, sekali gus meletakkan tuan rumah bersama itu di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati.

Kemenangan besar di Stadium BC Place itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga buat Kanada, malah menjadi kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia sebagai tuan rumah bersama.

Keputusan tersebut turut menyaksikan Kanada melonjak ke tangga teratas kumpulan mengatasi Switzerland menerusi kelebihan perbezaan jaringan.

Bagaimanapun, malam gemilang buat Kanada sedikit tercalar apabila pemain tengah mereka, Ismael Kone mengalami kecederaan serius pada kaki kiri selepas diterjah keras pemain Qatar, Assim Madibo pada awal babak kedua.

Kekasaran itu menyebabkan Madibo dilayangkan kad merah, menjadikan Qatar beraksi dengan sembilan pemain selepas sebelum itu kehilangan Homam Ahmed yang turut dibuang padang pada minit ke-34.

Ahmed pada awalnya menyebabkan Kanada dihadiahkan sepakan penalti selepas mengasari Tajon Buchanan, namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati insiden itu berlaku di luar kotak penalti.

Walaupun penalti dibatalkan, kad merah terhadap pemain pertahanan Qatar itu dikekalkan.

Kanada yang menguasai permainan sejak wisel permulaan membuka tirai jaringan menerusi penyerang berpengalaman, Cyle Larin yang pantas menyambar bola muntah untuk menewaskan penjaga gol lawan.

David kemudian mengambil alih pentas utama apabila menggandakan kelebihan menerusi voli menarik sebelum menambah gol kedua peribadinya hasil penyudah mudah dari jarak dekat untuk meletakkan Kanada selesa mendahului sebelum rehat.

Selepas Kone terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, pemain gantian Nathan Saliba segera memberi impak apabila meledak gol keempat menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan penjaga gol Qatar, Mahmud Abunada.

Penderitaan Qatar berterusan apabila Mohamed Manai tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang hantaran lintang Kanada, sekali gus menghadiahkan gol kelima buat tuan rumah.

David melengkapkan persembahan cemerlangnya pada masa kecederaan apabila meledak gol ketiga peribadi menerusi rembatan kaki kiri yang menewaskan Abunada untuk melengkapkan kemenangan bergaya 6-0.

Keputusan itu menyaksikan Kanada mengumpul empat mata daripada dua perlawanan, menyamai pungutan Switzerland, namun mendahului Kumpulan B berdasarkan perbezaan jaringan yang lebih baik.

Kanada kini hanya memerlukan keputusan seri apabila turun menentang Switzerland di Vancouver pada Khamis depan (25 Jun) untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya, manakala Qatar yang masih belum meraih sebarang kemenangan perlu menewaskan Bosnia dan Herzegovina di Seattle bagi menghidupkan peluang mereka.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN