PETALING JAYA: Terpaksa memulakan aksinya dari petak ke-16, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli perlu melipat gandakan usahanya menjelang perlumbaan sebenar Grand Prix Motosikal Belanda di Litar Assen, esok.
Mencatat masa sepusingan 1 minit 41.36 saat (s) pada sesi kelayakan 2, hari ini, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berkata, amat penting untuk dia kekal fokus dan bermula dengan baik pada permulaan perlumbaan.
“Esok saya akan memulakan perlumbaan dari petak ke-16. Sasaran saya adalah untuk kekal fokus, melakukan permulaan yang baik dan cuba menyertai kelompok hadapan secepat mungkin.
“Jika dilihat, catatan masa setiap pelumba sangat rapat. Jadi, saya akan bekerja lebih keras untuk memberikan yang terbaik dalam perlumbaan esok,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Hakim Danish mengakui dia tidak begitu gembira dengan catatan masa yang dilakukannya itu.
Bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu berkata, sepanjang setiap sesi latihan sehingga ke kelayakan, dia berasa semakin serasi dengan jenteranya.
“Pasukan juga berjaya menambah baik tetapan motosikal pada setiap sesi dan keyakinan saya semakin meningkat,” ujarnya.
Hakim Danish yang kini berjaya mencatat dua keputusan podium selepas sembilan pusingan, berada di tangga ketujuh dengan 73 mata dalam senarai keseluruhan pelumba Moto3. – UTUSAN










