HOUSTON: Cody Gakpo dan Brian Brobbey masing-masing membuktikan ketajaman di depan gol apabila masing-masing mencetak dua gol bagi membantu Belanda membelasah Sweden 5-1 dalam aksi Piala Dunia, hari ini.
Kemenangan itu sekali gus, sekali gus meletakkan Orange semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Kemenangan di depan hampir 69,000 penyokong itu membuktikan kebangkitan skuad kendalian Ronald Koeman selepas sekadar seri 2-2 dengan Jepun pada perlawanan pembukaan.
Belanda kini mendahului Kumpulan F dengan empat mata daripada dua perlawanan, diikuti Sweden dengan tiga mata, Jepun satu mata dan Tunisia yang masih belum mengutip sebarang mata.
Walaupun tewas besar, Sweden tetap mencipta beberapa peluang, namun dinafikan oleh aksi cemerlang penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen serta kegagalan jentera serangan mereka memanfaatkan peluang yang terhidang.
Sementara itu, Brobbey yang diberi penampilan pertama dalam kejohanan ini membalas kepercayaan Koeman dengan meledak dua gol pada minit kelima dan ke-17.
Penyerang Sunderland berusia 24 tahun itu, sebelum ini hanya menjaringkan satu gol buat Belanda sejak melakukan penampilan sulung tiga tahun lalu.
Gakpo yang mencipta bantuan gol pertama buat Brobbey turut meledak dua gol pada minit ke-47 dan 54.
Anthony Elanga yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol tunggal Sweden sebelum sejam permainan, namun Crysencio Summerville melengkapkan kemenangan bergaya Belanda menerusi jaringan kelima.
Sweden yang membelasah Tunisia 5-1 dalam aksi pertama gagal mengekang kekuatan fizikal Brobbey, manakala gandingan Alexander Isak dan Viktor Gyokeres pula sukar memperoleh peluang berkualiti.
Sweden turut memiliki peluang terbaik menerusi Yasin Ayari yang gagal mengawal hantaran lintang Gyokeres dengan kemas, sebelum Gyokeres sendiri mensia-siakan peluang selepas menerima umpanan daripada Isak.
Gyokeres dan Ayari kemudian beberapa kali menguji kubu Belanda, namun Verbruggen tampil cemerlang untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Sweden akan menentang Jepun dalam aksi berikutnya, manakala Belanda dijadual berdepan Tunisia.-AGENSI










