LOS ANGELES: Skuad kebangsaan Haiti terpaksa mengubah reka bentuk jersi mereka hanya beberapa hari sebelum aksi pembukaan Piala Dunia menentang Scotland selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melarang penggunaan ilustrasi yang menggambarkan adegan pertempuran pada pakaian rasmi tersebut.
Reka bentuk asal jersi berkenaan menampilkan ilustrasi Pertempuran Vertieres pada 1803 yang menjadi detik penting dalam sejarah kemerdekaan Haiti, bersama elemen bendera negara itu. Reka bentuk tersebut sebelum ini digunakan ketika dua aksi pemanas badan di Florida.
Bagaimanapun, syarikat pengeluar jersi dari Colombia, Saeta memaklumkan bahawa FIFA meminta beberapa perubahan dilakukan selepas semakan terhadap pematuhan peraturan pakaian rasmi kejohanan.
Menurut kenyataan Saeta, reka bentuk asal itu bertujuan sebagai penghormatan kepada sumbangan rakyat Haiti dalam membangunkan masa depan negara dan bukan bertujuan membawa sebarang mesej politik.
“Sepanjang proses semakan, FIFA memutuskan bahawa beberapa elemen visual dalam reka bentuk tersebut boleh ditafsirkan secara berbeza di bawah peraturan peralatan mereka, lalu meminta pengubahsuaian dibuat,” kata kenyataan itu.
Saeta turut menegaskan pihaknya menghormati keputusan berkenaan dan melaksanakan segala perubahan yang diperlukan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Haiti dijadualkan memulakan kempen Piala Dunia mereka, yang pertama dalam tempoh 52 tahun menentang Scotland di Boston pada Sabtu ini.
Skuad dari Caribbean itu yang berada di ranking ke-83 dunia turut berada dalam kumpulan sukar bersama Brazil selaku juara dunia lima kali dan Maghribi, juara Afrika dalam Kumpulan C. – AFP










