FAM hormati peranan PJS

FAM hormati peranan PJS

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memberikan penjelasan terperinci kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung kekeliruan pembentangan penyata kewangan dan bajet badan induk itu.

FAM memaklumkan, penjelasan itu dibuat susulan beberapa kenyataan dan dakwaan yang telah menimbulkan persepsi seolah-olah FAM tidak membentangkan penyata kewangan teraudit serta bajet tahunan kepada ahli-ahli gabungan mengikut peruntukan yang ditetapkan.

“Satu surat rasmi bertarikh 8 Jun 2026 telah dikemukakan kepada PJS bagi memberikan penjelasan lengkap berhubung kekeliruan mengenai pembentangan penyata kewangan dan bajet FAM yang telah dibangkitkan semasa Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026 pada 4 Jun 2026.

“Penjelasan tersebut dibuat susulan beberapa kenyataan dan dakwaan yang telah menimbulkan persepsi seolah-olah FAM tidak membentangkan penyata kewangan teraudit serta bajet tahunan kepada ahli-ahli gabungan mengikut peruntukan yang ditetapkan,” kata FAM dalam satu kenyataan, semalam.

Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM menghormati peranan PJS dalam memastikan pematuhan terhadap Akta Pembangunan Sukan 1997 dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkenaan dalam apa jua perkara yang memerlukan penjelasan lanjut.

Sebelum ini, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yakin badan induk bola sepak negara itu antara persatuan sukan yang memiliki rekod tadbir urus kewangan terbaik di negara ini.

Menurut Hamidin, dakwaan kononnya FAM gagal menguruskan laporan kewangan dengan baik adalah tidak tepat kerana setiap urusan kewangan badan induk itu sentiasa melalui proses audit yang ketat dan tersusun sebelum dikemukakan kepada pihak berkaitan.

Beliau berkata, FAM tidak mungkin dapat beroperasi seperti biasa sekiranya laporan kewangan serta penyata audit gagal dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh badan berkaitan.

“Dalam persatuan (sukan) di Malaysia ini, saya boleh katakan kami antara yang terbaik, itu saya boleh cakap. Anda boleh semak dengan PJS,” tegas Hamidin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN