CLEVELAND, Amerika Syarikat: Bintang muda Brazil, Endrick muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Selecao menewaskan Mesir 2-1 dalam aksi pemanas badan terakhir menjelang saingan Piala Dunia, awal pagi tadi.
Penyerang berusia 18 tahun itu memberikan impak segera sebaik dimasukkan pada babak kedua apabila menyempurnakan hantaran Raphinha untuk memastikan Brazil menutup kem latihan mereka dengan kemenangan di Huntington Bank Field.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti sebelum itu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Bruno Guimaraes yang mengambil kesempatan atas kesilapan pemain tengah Mesir, Mohanad Lashin.
Bagaimanapun, kealpaan benteng Brazil menghadiahkan ruang kepada Mesir untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mostafa Zico selepas memanfaatkan hantaran lemah Marquinhos kepada penjaga gol, Alisson Becker.
Brazil yang menguasai sebahagian besar permainan terus menggandakan tekanan, namun beberapa percubaan Vinicius Junior dan Raphinha berjaya dipatahkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shoubir.
Ancelotti kemudian melakukan rombakan besar-besaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan lapan pemain baharu, termasuk Endrick yang akhirnya mencuri tumpuan.
Raphinha mencetus gerakan pantas di sebelah kiri sebelum menghulurkan bola kepada Endrick yang tenang menewaskan Shoubir untuk gol kemenangan Brazil.
Kejayaan itu melengkapkan persiapan cemerlang Brazil selepas membelasah Panama 6-2 dalam aksi persahabatan sebelum ini.
Brazil akan memulakan cabaran Kumpulan C menentang Maghribi pada 13 Jun, sebelum berdepan Scotland dan Haiti, manakala Mesir membuka kempen Kumpulan G menentang Belgium pada 15 Jun.-AGENSI










