Endo masih dalam pemerhatian

Endo masih dalam pemerhatian

Wataru Endo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASHVILLE: Kapten Jepun, Wataru Endo masih menjadi tanda tanya menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Belanda pada Ahad ini apabila dia terus bergelut dengan kecederaan kaki.

Pemain tengah Liverpool berusia 33 tahun itu tidak menyertai sesi latihan penuh di Mexico dan hanya menjalani latihan ringan membabitkan larian serta hantaran selepas pasukan berpindah ke kem asas di Nashville.

Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata, Endo masih berada dalam pertimbangan untuk diturunkan, namun keadaan fizikal pemain itu akan terus dipantau sehingga saat akhir.

“Menurut laporan perubatan, tiada apa yang menunjukkan beliau tidak boleh bermain. Jadi kami hanya percaya, berdoa dan menunggu,” katanya.

Endo sebelum ini mengalami kecederaan kaki yang menamatkan musimnya bersama Liverpool ketika menentang Sunderland pada Februari lalu, namun kembali menyarung jersi kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Iceland pada 31 Mei.

Bagaimanapun, dia dilaporkan masih berasa tidak selesa selepas dikeluarkan pada separuh masa dalam perlawanan tersebut.

Moriyasu tidak menolak kemungkinan untuk membuat pertukaran dalam skuad sekiranya Endo gagal pulih tepat pada masanya, sambil menegaskan semua pemain berada dalam pemantauan rapi.

“Kami sentiasa mempertimbangkan pengganti jika seorang pemain tidak boleh bermain, bukan hanya untuk Endo tetapi semua pemain,” katanya.

Jepun turut menerima tamparan apabila pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma, terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring, manakala penyerang Monaco, Takumi Minamino, turut tidak disenaraikan selepas mengalami koyakan ligamen anterior cruciate (ACL). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN