Enam wakil Malaysia ke suku akhir Terbuka Macau

Enam wakil Malaysia ke suku akhir Terbuka Macau

Ong Xin Yee-Carmen Ting.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam wakil Malaysia berjaya meloloskan diri ke peringkat lapan terbaik, dengan satu slot separuh akhir telahpun berada dalam genggaman beregu lelaki negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Macau di Macau, hari ini.

Beregu lelaki No. 25 dunia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong menewaskan rakan senegara, Boon Xin Yuan-Lwi Sheng Hao 21-17, 22-20 dalam masa 38 minit di peringkat 16 terbaik.

Pada suku akhir, esok, pilihan pertama itu akan berdepan dengan satu lagi beregu Malaysia yang menghuni ranking ke-73 dunia, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong.

Gandingan profesional itu mengejutkan pasangan No. 40 dunia, Wesley Koh-Junsuke Kubo dari Singapura 21-18, 21-14 dalam masa 38 minit.

Pertembungan Azriyn-Wee Kiong dan Hang Yee-Eng Cheong di suku akhir telah memastikan salah satu slot separuh akhir menjadi milik beregu Malaysia.

Selain dua beregu tersebut, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi muncul pasangan ketiga Malaysia yang meneruskan kemaraan dan Wei Chun Wei-Yang Po Chih dari Taiwan menanti mereka di suku akhir.

Beregu pecah ganding yang kini menghuni ranking ke-120 dunia itu mengejutkan pilihan kedua, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dari China 23-25, 21-16, 21-13 dalam masa 56 minit pada pusingan kedua.

Sementara itu, dalam acara beregu wanita, pasangan No. 23 dunia, Ong Xin Yee-Carmen Ting mara ke suku akhir buat kali pertama, musim ini, selepas mengetepikan Chou Yun An-Sung Yi Hsuan dari Taiwan 21-13, 21-17 dalam masa 42 minit.

Dalam saingan seterusnya, Xin Yee-Carmen yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu bakal menghitung pertemuan dengan Kim Hye Jeong-Moon In Seo dari Korea Selatan.

Turut mara ke suku akhir, beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang hanya mengambil masa selama 24 minit untuk menyingkirkan gandingan Taiwan, Cheng Kai Wen-Liu Chiao Yun 21-13, 21-12.

Beregu profesional yang baru sahaja digandingkan bersama itu perlu melepasi wakil Korea Selatan, Cho Song Hyun-Jeong Na Eun jika berhajat memburu tempat ke separuh akhir.

Malaysia turut mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki apabila pemain muda, Eogene Ewe mengalahkan rakan senegara, Cheam June Wei 21-15, 21-15 dalam masa 35 minit.

Eogene yang menjadi wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan lelaki akan bertemu dengan pilihan kedua, Jason Teh dari Singapura, esok.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang terpaksa menarik diri sewaktu ketinggalan 4-12 dalam set pertama menentang Anmol Kharb dari India yang mungkin berpunca daripada isu kecergasan.

Selain Jin Wei, turut tersingkir adalah perseorangan lelaki, Huan Kai Hern; dua beregu campuran, Low Han Chen-Chan Wen Tse dan Liew Xun-Ho Lo Ee serta beregu lelaki gabungan dua negara Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN