Ecuador,Curacao buru kemenangan pertama di Piala Dunia 2026

Ecuador,Curacao buru kemenangan pertama di Piala Dunia 2026

TONGGAK Ecuador, Willian Pacho tertunduk kecewa selepas tewas pada aksi pertama Kumpulan E kepada Ivory Coast.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSAS CITY: Pertembungan antara Ecuador dan Curacao, Ahad ini, bakal menjadi medan hidup mati buat kedua-dua pasukan yang terdesak untuk mengelak kekalahan kedua berturut-turut pada aksi peringkat kumpulan Piala Dunia.

Diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Eropah, Jerman dan Ivory Coast, Ecuador sebenarnya hadir ke kejohanan ini dengan reputasi benteng pertahanan yang ampuh.

Bagaimanapun, kempen mereka bermula langkah kiri selepas tunduk 0-1 kepada Ivory Coast, biarpun berjaya mencipta beberapa peluang keemasan.

Skuad kendalian Sebastian Beccacece itu kini wajib bangkit. Sebarang keputusan selain kemenangan akan menutup peluang mereka sebelum berdepan ujian getir menentang Jerman pada aksi terakhir kumpulan.

“Apabila permulaan tidak seperti yang diharapkan, perasaan cemas pasti akan hadir. Namun, apa yang kami perlukan sekarang adalah keyakinan yang lebih tinggi berbanding sebelum ini,” kata Beccacece.

Identiti permainan Ecuador sebenarnya masih utuh menerusi rekod pertahanan kebal yang hanya melepaskan lima gol dalam 18 perlawanan kelayakan.

Barisan pertahanan mereka diketuai tonggak Paris Saint-Germain, Willian Pacho dan pemain Arsenal, Piero Hincapie, manakala bintang Chelsea, Moises Caicedo bertindak sebagai nadi di bahagian tengah.

Di jentera serangan, penyerang berpengalaman Enner Valencia kekal menjadi sandaran utama selaku ketua pasukan namun cabaran terbesar Ecuador ketika ini adalah mengimbangi corak permainan tersusun dengan ketajaman di depan gawang.

Sementara itu, bagi Curacao, perlawanan ini merupakan satu lagi lembaran penting dalam perjalanan bersejarah mereka di pentas dunia.

Negara Caribbean dengan populasi sekitar 156,000 penduduk itu melakar sejarah sebagai negara paling kecil pernah layak ke Piala Dunia, malah tiba di kejohanan ini dengan rekod tanpa kalah sepanjang kempen kelayakan.

Namun, penampilan sulung mereka bertukar duka apabila dibelasah 1-7 oleh juara dunia empat kali, Jerman.

Meskipun tewas besar, mereka sekurang-kurangnya berjaya meledak gol pertama dalam sejarah Piala Dunia negara itu.

Pengendali berpengalaman, Dick Advocaat dijangka mengekalkan pendekatan pragmatik yang telah membawa Curacao ke pentas dunia.

Kapten mereka, Leandro Bacuna bakal mengemudi jentera tengah, manakala Juninho Bacuna dan Jurgen Locadia ditagih untuk menyuntik pengalaman buat skuad yang majoritinya berpangkalan di Belanda ini.

Curacao diramal akan terus mempertaruhkan corak bertahan dan mengharapkan serangan balas pantas yang membuahkan hasil ketika kelayakan kembali berfungsi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN