JOHOR BAHRU: Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pembantu rumah di daerah ini, tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isteri Nurfarah Ainna Hazhar, 34, serta Muhamad Firdaus Sha’aban, dan isteri, Nurafiqah Nabilah Hazhar masing-masing berusia 33 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Yulia Arnida, 34, di sebuah rumah di Jalan Ledang, Tampoi, di sini pada pukul 8.30 malam, 22 Disember lalu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Muhamad Firdaus Shaaban dan Nurafiqah turut berdepan dua pertuduhan secara bersama dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap dua lagi pembantu rumah, Yatina Yusnita dan Siti Hajar di sebuah rumah di Jalan Delima 2/6, Taman Daya, di sini antara pukul 2 hingga 4 petang, pada 11 Jun lalu.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua duanya, jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Muhamad Hirzihaziq dan Nurfarah Ainna secara berasingan berdepan dua pertuduhan menakutkan secara jenayah terhadap Siti Hajar dan Yatina Yusnita dengan ugutan hendak mencederakan dengan niat untuk menyebabkan kegentaran kepada penama tersebut di Kampung Melayu Majidee, di sini pada pukul 2 petang, pada 12 Jun lalu.
Pendakwaan terhadap suami isteri itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Muhamad Firdaus berdepan dua lagi pertuduhan memiliki pasport Siti Hajar dan Yatina Yusnita tanpa alasan yang munasabah dan kuasa yang sah di Pejabat Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, di sini pada pukul 7.30 malam pada 13 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan terhadap semua tertuduh dibuat di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Atifah Hazimah, A. Sharmini dan Tan Chiew King.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Anis Shafeeqah Mohd. Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar dan Nurainaa Kamilah Zalizan.
Kamal Hisham memohon ikat jamin rendah memandangkan kesemua anak guamnya bekerja sendiri dan berpendapatan tidak menentu sekitar RM2,000 sebulan selain turut mempunyai tanggungan anak yang masih kecil serta ibu bapa yang uzur.
Semua mahkamah kemudian membenarkan jaminan secara keseluruhan terhadap Nurfarah Ainna dan suaminya masing-masing dengan jumlah ikat jamin sebanyak RM9,000, manakala Muhamad Firdaus dengan jumlah RM11,500 dan isterinya dibenarkan ikat jamin RM5,500.
Atifah Hazimah dan Chiew King menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen, manakala bagi kes di hadapan Shaarmini akan disebut semula pada 2 Julai nanti.-UTUSAN










