Utamakan pengeluar makanan berbanding gudang

Utamakan pengeluar makanan berbanding gudang

Gudang makanan
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada sektor pengeluaran makanan dengan mengutamakan bantuan kepada petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur berbanding penyimpanan bekalan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memastikan keterjaminan makanan dan tidak boleh bergantung kepada gudang semata-mata.

”Kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk Gudang Makanan Selangor, tetapi hanya RM25 juta untuk membantu lebih 14,000 pesawah, petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur yang menjadi pengeluar makanan negeri ini.

“Persoalannya, mengapa kita melabur lebih banyak untuk menyimpan makanan berbanding menghasilkan makanan?” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, keterjaminan makanan bermula dengan memastikan sektor pertanian terus berdaya maju, menguntungkan dan mampu menarik generasi muda bagi meneruskannya.

Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor membentangkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi melaksanakan Gudang Makanan Selangor dalam Pakej Pengukuhan Tahan Selangor Fasa 1 yang bernilai RM145.8 juta.

Dasar tersebut bertujuan mewujudkan stok penimbal bagi lima jenis makanan asas iaitu beras, ayam, daging ikan dan minyak masak yang kini sudah pun terkumpul sebanyak 3,750 tan metrik.

Dalam kenyataan sama, Nurul Syazwani turut meminta kerajaan menjelaskan peruntukan sebanyak RM355.06 juta keseluruhan kedua-dua fasa dalam pakej rangsangan tersebut.

“Adakah ia peruntukan baharu, lebihan hasil negeri, penjimatan daripada peruntukan sedia ada atau sumber lain? Ini bukan soal menolak bantuan kepada rakyat, tetapi soal ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN