PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Malaya (UM) memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Penyejukan (CESA) bagi memodenkan infrastruktur penyejukan di Wisma R&D UM.
Kerjasama ini menjadi langkah penting dalam menyokong pembangunan kampus yang lebih lestari, selain memperkukuh usaha ke arah kecekapan tenaga dalam sektor pengajian tinggi negara.
Perjanjian ini dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), yang menyediakan solusi kejuruteraan dan infrastruktur tenaga.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kerjasama strategik ini membuktikan keupayaan TNB dalam menyediakan solusi penyejukan yang stabil, berdaya harap, serta berkesan dari segi kos.
“Perjanjian ini menunjukkan peranan sistem penyejukan daerah yang semakin penting sebagai penyelesaian infrastruktur bandar yang cekap.
“Ia membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga dan menyokong kelestarian alam sekitar.
“Kami berharap kerjasama dengan UM ini dapat diperkukuh, sekali gus menyokong aspirasi UM untuk membangunkan ekosistem kampus yang lebih lestari dan bersedia untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Melalui perjanjian CESA ini, TNEC akan membekalkan tenaga penyejukan kepada Wisma R&D UM daripada loji Sistem Penyejukan Daerah (DCS) TNEC di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Bekalan tenaga penyejukan ini akan dilaksanakan di bawah konsesi selama 20 tahun.
Projek berkenaan dijangka dapat mengurangkan kos berkaitan penyejukan sebanyak kira-kira 30 peratus, bersamaan penjimatan sekitar RM7.59 juta sepanjang tempoh konsesi.
Tenaga penyejukan daripada loji DCS TNEC ini membolehkan Wisma R&D menikmati sistem yang lebih stabil, prestasi tenaga lebih baik dan operasi yang lebih cekap berbanding sistem konvensional.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Pengerusi UM, Tan Sri Zarinah Anwar.
Sementara itu, Ir. Dr. Noor Azuan berkata, perjanjian ini merupakan langkah penting dalam usaha UM memodenkan infrastruktur kampus dan memperkukuh agenda kelestariannya.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen UM dalam menerima pakai penyelesaian yang inovatif dan lestari.
“Ia bukan sahaja menambah baik persekitaran kampus, malah membantu mengoptimumkan penggunaan sumber.
“Ini selaras dengan aspirasi UM sebagai universiti penyelidikan terkemuka yang komited terhadap penjagaan alam sekitar dan pembangunan lestari,” katanya.
Wisma R&D dipilih sebagai projek pelaksanaan pertama kerana infrastruktur penyejukannya yang telah beroperasi lebih 25 tahun, kini hampir mencapai penghujung kitaran hayat ekonominya.
Selain manfaat langsung, perjanjian ini turut membuka ruang kepada inisiatif pengoptimuman tenaga penyejukan pada masa hadapan, termasuk di Kampus Induk UM, pembangunan kampus baharu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Projek ini juga sekali gus menyokong agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mengurangkan impak alam sekitar daripada sistem konvensional. – UTUSAN










