BOSTON: Jerman sedar laluan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 tidak semudah yang disangka apabila bakal berdepan Ivory Coast dalam aksi kedua Kumpulan E, awal pagi Ahad ini.
Selepas membelasah Curacao 7-1 pada perlawanan pembukaan, skuad Die Mannschaft kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan di puncak kumpulan dan semakin hampir ke pusingan seterusnya.
Namun begitu, mereka sedar ancaman sebenar menanti menerusi kemunculan sensasi pemain muda Ivory Coast, Yan Diomande.
Pemain sayap berusia 19 tahun itu menjadi antara nama paling hangat diperkatakan dalam bola sepak Eropah selepas mempamerkan prestasi luar biasa bersama RB Leipzig musim lalu.
Kepantasan, kemahiran menggelecek dan ketajamannya di hadapan gol menjadikan Diomande aset paling berbahaya dalam skuad Ivory Coast.
Perjalanan kariernya juga cukup menakjubkan dengan hanya 13 bulan lalu, Diomande menjaringkan gol profesional pertamanya ketika beraksi bersama Leganes di Sepanyol sebelum menyertai Leipzig pada Julai 2025.
Sejak itu, perkembangannya berlaku begitu pantas sehingga menarik perhatian beberapa kelab gergasi Eropah.
Pada musim sulungnya di Bundesliga, pemain muda itu meledak 12 gol dan mencipta lapan bantuan jaringan, selain memainkan peranan penting membantu Leipzig menamatkan saingan di tangga ketiga liga serta layak ke Liga Juara-Juara Eropah.
Kapten Jerman, Joshua Kimmich mengakui peningkatan prestasi Diomande cukup luar biasa dan menjadikannya pemain yang perlu diberi perhatian khusus.
“Perkembangannya luar biasa. Setahun lalu hampir tiada siapa mengenalinya.
“Dia menjalani musim yang hebat walaupun Leipzig berdepan beberapa masalah. Dia konsisten dan sangat mengagumkan. Kemahiran gelecek serta pecutannya luar biasa,” kata Kimmich.
Jerman mempunyai alasan kukuh untuk tidak memandang rendah lawan mereka walaupun Ivory Coast hanya menang tipis 1-0 ke atas Ecuador menerusi gol lewat permainan dalam aksi pembukaan namun pasukan Afrika itu membuktikan mereka memiliki kemampuan untuk menghukum lawan yang leka.
Malah, kekuatan Ivory Coast tidak hanya bergantung kepada Diomande kerana mereka turut memiliki pemain berpengalaman seperti Nicolas Pepe serta Amad Diallo yang terkenal dengan kelajuan dan kebolehan mencipta ancaman menerusi serangan balas.
Pertahanan Jerman, Antonio Rudiger percaya disiplin dan fokus tinggi diperlukan bagi memastikan jentera serangan lawan tidak diberikan ruang untuk bergerak bebas.
“Kami perlu memberi perhatian khusus kepada Diomande. Dia memang menyerlah.
“Tetapi Nicolas Pepe dan Amad Diallo juga berbahaya. Mereka seperti kereta api ekspres. Mereka gemar situasi satu lawan satu dan serangan balas pantas. Kami perlu bersedia,” katanya.
Bagi Jerman, kejohanan kali ini membawa misi yang lebih besar kerana selepas menjuarai Piala Dunia 2014, mereka mengalami kemerosotan prestasi apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022.
Justeru, kemenangan ke atas Ivory Coast bukan sahaja penting untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati, malah menjadi bukti bahawa kebangkitan semula gergasi Eropah itu benar-benar berada di landasan tepat.-AGENSI










