BS Nutrition, Universitas Lancang Kuning perkukuh kerjasama industri-akademia serantau

BS Nutrition,Universitas Lancang Kuning perkukuh kerjasama industri-akademia serantau

PROGRAM Sesi Perkongsian dan Lawatan Industri melibatkan delegasi mahasiswa Universitas Lancang Kuning (UNILAK), Riau, Indonesia di ibu pejabat syarikat, BS Nutrition (M) Sdn. Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Syarikat pengeluar produk nutrisi tempatan, BS Nutrition (M) Sdn. Bhd. terus memperkukuhkan hubungan strategik antara sektor industri dan institusi pendidikan tinggi menerusi penganjuran Program Sesi Perkongsian dan Lawatan Industri melibatkan delegasi mahasiswa Universitas Lancang Kuning (UNILAK), Riau, Indonesia di ibu pejabat syarikat itu di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama lebih tiga jam itu bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai landskap industri nutrisi, pembangunan keusahawanan, inovasi produk serta pengurusan operasi syarikat tempatan yang berjaya mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

YM Raja Lokman Raja Ahmad

Ketua Pegawai Eksekutif BS Nutrition (M) Sdn. Bhd., YM Raja Lokman Raja Ahmad berkata, pihaknya komited untuk menjadi rakan strategik kepada institusi pendidikan dalam usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, malah mempunyai pemikiran keusahawanan serta bersedia mendepani cabaran dunia industri.

“Kolaborasi antara institusi pendidikan dan pemain industri amat penting dalam melahirkan modal insan berkualiti.

“Mahasiswa perlu didedahkan dengan pengalaman sebenar dunia perniagaan supaya mereka bukan sekadar menjadi pencari kerja, malah mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan dan usahawan yang berdaya saing,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama erat antara akademia dan industri mampu membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk memahami keperluan sebenar pasaran kerja selain memperkukuhkan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi persaingan global.

Program tersebut turut menghimpunkan pelbagai agensi pembangunan usahawan, institusi kewangan dan organisasi strategik negara yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan negara.

Antara yang hadir ialah Ketua Pembangunan Usahawan SME Bank, Saaidah Khadijah Naim; Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof; Ketua Nutrisi Sukan Selangor FC, Wan Nurul Hazirah Wan Alkamar Shah; Ketua Misi MAPIM Rantau Asia Tenggara, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Pengasas DASTO, Dr. Aishah Tul Radziah.

Delegasi akademik Universitas Lancang Kuning pula diketuai Dekan Sekolah Pascasarjana, Prof. Dr. Adolf Bastian bersama Pensyarah Sarjana Pengurusan, Dr. Adi Rahmat dan Ketua Program Sarjana Pengajian Pengurusan, Dr. Richa Afriana Munthe.

Program dimulakan dengan pembentangan korporat BS Nutrition sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian oleh wakil agensi berkaitan mengenai peluang pembangunan usahawan, pembiayaan perniagaan dan pembangunan bakat.

Pengisian tersebut memberikan gambaran menyeluruh kepada mahasiswa mengenai ekosistem sokongan yang disediakan kerajaan dan institusi berkaitan bagi membantu usahawan berkembang secara mampan.

Kemuncak program menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara BS Nutrition dan Universitas Lancang Kuning sebagai simbol komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama melibatkan penyelidikan, pembangunan modal insan, latihan industri, mobiliti pelajar serta pertukaran kepakaran akademik dan industri.

Delegasi mahasiswa turut dibawa melawat fasiliti pengeluaran, pusat logistik dan operasi syarikat bagi melihat sendiri proses pembangunan produk, kawalan kualiti serta sistem pengurusan yang diamalkan oleh BS Nutrition dalam memastikan setiap produk memenuhi piawaian tinggi pasaran.

Selain mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, program tersebut turut membuka ruang kepada jalinan kerjasama baharu melibatkan institusi pendidikan, agensi pembangunan usahawan dan sektor industri dalam usaha memperkasa ekonomi berteraskan inovasi serta keusahawanan.

Program berakhir dengan sesi fotografi, penyampaian cenderamata dan jaringan profesional yang diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi strategik pada masa depan.

Melalui inisiatif berterusan itu, BS Nutrition membuktikan komitmennya sebagai syarikat tempatan yang bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan produk berkualiti, malah memainkan peranan aktif dalam pembangunan modal insan, pemerkasaan usahawan serta pengukuhan kerjasama strategik antara industri, akademia dan agensi kerajaan di peringkat serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN