Badi Jerman di Piala Dunia berakhir

Badi Jerman di Piala Dunia berakhir

PEMAIN-Pemain Jerman meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Jerman akhirnya memadam badi gagal layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia sejak 2014 selepas bangkit menewaskan Ivory Coast 2-1 dalam aksi dramatik, hari ini.

Kemenangan itu dibantu oleh pemain gantian, Deniz Undav yang muncul wira apabila meledak dua gol, termasuk jaringan kemenangan pada minit keempat masa kecederaan yang mencetuskan sorakan gemuruh lebih 43,000 penyokong Jerman di Toronto.

Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan dalam dua edisi terakhir Piala Dunia sejak muncul juara pada 2014, sekali gus meletakkan jurulatih Julian Nagelsmann di bawah tekanan untuk mengembalikan kegemilangan pasukan.

Pertahanan Jerman, Jonathan Tah menyifatkan kemenangan tersebut sebagai bukti kekuatan mental dan semangat juang tinggi yang dimiliki pasukan itu dalam usaha memburu kejuaraan dunia.

“Mentaliti kemenangan dan semangat berpasukan, kami memiliki segala yang diperlukan untuk berjaya dalam kejohanan seperti ini.

“Kami tidak pernah berputus asa. Pemain yang masuk dari bangku simpanan memberikan tenaga tambahan. Deniz memang layak menerima pujian istimewa, dia luar biasa,” katanya kepada MagentaTV.

Selepas membelasah Curacao 7-1 dalam aksi pembukaan, kemenangan ke atas Ivory Coast mengukuhkan status Jerman sebagai antara pencabar utama kejuaraan dan memberi isyarat bahawa gergasi Eropah itu sudah bersedia meninggalkan episod suram yang menyaksikan mereka tersingkir seawal peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 dan 2022.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN