TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Iran saling berbalas serangan ketenteraan selepas Washington menuduh Teheran menyerang sebuah kapal kargo, sekali gus menggugat gencatan senjata yang rapuh ketika usaha diplomatik sedang dijalankan bagi membendung konflik di Asia Barat.
Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan, serangan tentera AS yang menyasarkan lokasi simpanan peluru berpandu dan dron Iran serta kedudukan radar pantai adalah sebagai tindak balas terhadap ‘tindakan pencerobohan tanpa provokasi terhadap kapal perdagangan tentera Iran’ yang didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata.
CENTCOM menyifatkan operasi itu sebagai tindak balas tegas terhadap serangan semalam ke atas sebuah kapal perdagangan yang sedang melalui Selat Hormuz.
Televisyen kerajaan Iran, memetik wartawan di Sirik, melaporkan satu letupan kedengaran lewat Jumaat di Jeti Taherouyeh di bandar pelabuhan selatan itu. Ia turut memetik sumber tentera yang memaklumkan letupan berkenaan berpunca daripada hentaman peluru di kawasan tersebut.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump, mengecam apa yang disifatkannya sebagai serangan dron Iran terhadap kapal berkenaan dengan berkata:
“Jelas sekali, ini adalah pelanggaran bodoh terhadap perjanjian gencatan senjata kita.”
Naib Presiden AS, JD Vance, turut mengeluarkan amaran keras menerusi platform X dengan menyatakan ‘keganasan akan dibalas dengan keganasan’ sekiranya Iran melancarkan sebarang serangan lagi.
Beberapa minit kemudian, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengesahkan mereka melancarkan serangan ke atas lokasi milik AS di rantau Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan tentera Amerika.
“Jika pencerobohan ini berulang, tindak balas kami akan lebih meluas daripada ini,” kata IRGC menerusi kenyataan yang disiarkan televisyen kerajaan di saluran Telegram.
Pertukaran serangan itu menimbulkan persoalan baharu mengenai usaha memastikan Selat Hormuz kekal dibuka ketika Washington dan Teheran sedang berunding bagi mencapai penyelesaian muktamad terhadap perang yang bermula pada 28 Februari, susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran.
Iran sebelum ini memberi amaran supaya kapal tidak memasuki atau keluar dari Teluk melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran, namun kapal-kapal masih meneruskan pelayaran, dengan sebahagiannya menggunakan laluan yang tidak mendapat kelulusan Teheran.- AFP











