JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia satu tahun ketika kejadian kepada kecederaan fizikal, tahun lalu.
Tertuduh, Yulia Arnida, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Mengikut kertas pertuduhan, pembantu rumah itu dituduh mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepala mangsa terangkat serta menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini pada waktu petang pada 21 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) Akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Manushri memohon jaminan RM20,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada Mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam, Jason Tan Ka Yan bagaimanapun memohon jaminan minimum memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua orang anak berusia 7 dan 8 tahun yang masih bersekolah di Bandar Acheh, Indonesia selain ibu bapa yang uzur.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh setelah peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport milik tertuduh berada di tangan pihak ketiga.
Mahkamah turut memerintahkan wanita warga Indonesia itu ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga pihak peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara buat tertuduh daripada kerajaan Indonesia, manakala kes disebut semula pada 29 Jun ini untuk serahan dokumen.-UTUSAN










