Wajah Trump mungkin dipapar pada wang kertas AS$250

Wajah Trump mungkin dipapar pada wang kertas AS$250

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Wajah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kemungkinan besar akan dipaparkan pada wang kertas baharu bernilai AS$250.

Langkah terbaharu pemimpin Republikan itu dilihat sebagai cubaan untuk memecah tradisi AS dengan meletakkan identiti peribadinya pada institusi nasional negara tersebut.

Cadangan mengenai pengenalan wang kertas baharu yang memaparkan wajah Trump itu pertama kali dilaporkan oleh akhbar Washington Post pada Khamis.

Sekiranya pelan ini dilaksanakan, ia akan menjadi kali pertama dalam tempoh satu setengah abad imej individu yang masih hidup apatah lagi seorang presiden yang sedang berkhidmat dipaparkan pada mata wang rasmi AS.

“Pada masa ini, terdapat cadangan undang-undang yang sedang dibawa ke Dewan Perwakilan dan Senat untuk meminda syarat utama itu bagi membolehkan individu yang masih hidup dipaparkan pada wang kertas AS$250,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dalam satu taklimat media pada Khamis.

“Saya berpandangan tiada apa-apa yang salah untuk meletakkan Presiden AS, individu yang sedang memimpin negara ini pada wang kertas sempena ulang tahun ke-250,” tambah Bessent.

Beliau menjelaskan, Jabatan Perbendaharaan melakukan persiapan awal sekiranya rang undang-undang itu diluluskan kongres, namun menegaskan pihaknya tetap akan mematuhi lunas undang-undang sedia ada.

Satu reka bentuk replika yang diperoleh Washington Post menunjukkan wang kertas itu tertera perkataan ‘America 250 anniversary’ sebagai simbolik kepada ulang tahun ke-250 pengisytiharan kemerdekaan AS pada 4 Julai 1776.

Menurut laporan akhbar tersebut, dua pegawai lantikan Trump di Jabatan Perbendaharaan pada 2025 telah mula mendesak kakitangan di Biro Ukiran dan Cetakan untuk menyediakan prototaip wang kertas berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa kakitangan biro yang enggan dikenali mendedahkan kepada Washington Post bahawa pelan tersebut mencetuskan kebimbangan memandangkan ia jelas melanggar undang-undang persekutuan yang melarang paparan wajah individu atau presiden yang masih hidup pada mata wang AS.

Sementara itu, seorang jurucakap wanita Jabatan Perbendaharaan mengesahkan kepada agensi berita AFP bahawa Biro Ukiran dan Cetakan kini sedang menjalankan perancangan dan penilaian sewajarnya berhubung cadangan tersebut.

Beliau menambah bahawa Bendahari AS, Brandon Beach, belum mengarahkan kakitangan untuk mencetak wang kertas itu selagi tiada kelulusan rasmi daripada pihak Kongres.

Kakitangan biro terbabit turut memaklumkan bahawa Pengarah Biro Percetakan, Patricia Solimene telah menyatakan bantahannya dan memberi amaran kepada beberapa pegawai termasuk Beach mengenai implikasi undang-undang serta halangan prosedur yang bakal dihadapi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN