Spurs selamat, West Ham turun pangkat

Spurs selamat, West Ham turun pangkat

PENYOKONG Tottenham Hotspur meraikan kejayaan pasukan mereka kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Tottenham Hotspur akhirnya berjaya memastikan kelangsungan mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas menewaskan Everton 1-0, sekali gus menghampakan West Ham United yang turut memburu slot kekal di liga elit itu.

Gol tunggal Joao Palhinha sebelum tamat babak pertama sudah memadai untuk menghadiahkan tiga mata penting buat Spurs di Stadium Tottenham Hotspur.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Roberto De Zerbi menamatkan musim di atas West Ham dengan kelebihan dua mata, selain memiliki perbezaan jaringan lebih baik.

Palhinha muncul wira pasukan selepas menyempurnakan peluang hasil bola muntah daripada tandukannya sendiri yang terkena tiang gol.

“Hari ini (semalam) bagi kami lebih daripada sekadar memenangi perlawanan.

“Ramai orang bergantung hidup kepada kelab ini. Ia musim yang sukar tetapi saya rasa musim ini boleh membantu untuk masa depan. Kami boleh belajar banyak daripadanya walaupun kami tidak mencapai tahap yang sepatutnya bagi Tottenham,” kata Palhinha.

Dalam satu lagi perlawanan, West Ham membelasah Leeds United 3-0 menerusi jaringan Valentin Castellano, Jarrod Bowen dan Callum Wilson, namun keputusan itu gagal menyelamatkan mereka daripada penyingkiran.

Pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo mengakui nasib pasukannya bukan lagi berada di tangan mereka.

“Kami tahu ia akan menjadi sukar, ia bukan di tangan kami. Kami telah melakukan tugas kami dan berharap yang terbaik tetapi ia tidak berlaku. Kami perlu mengharungi detik sedih yang kami alami sekarang,” katanya.

West Ham bakal beraksi di Kejuaraan musim depan bersama Burnley dan Wolverhampton.

Sementara itu, suasana penuh emosi menyelubungi Stadium Etihad apabila Pep Guardiola mengendalikan perlawanan terakhirnya bersama Manchester City selepas sedekad mencipta pelbagai kejayaan bersama kelab itu.

Pengendali dari Sepanyol itu sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan City selepas menghadiahkan enam gelaran EPL serta trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam aksi tersebut, City tewas 1-2 kepada Aston Villa walaupun terlebih dahulu mendahului menerusi Antoine Semenyo sebelum Ollie Watkins meledak dua gol buat pelawat.

“Jika anda bertemu saya di mana-mana selepas ini dan anda penyokong City, datanglah peluk saya,” kata Guardiola kepada penyokong selepas tamat perlawanan.

Di Anfield, Mohamed Salah dan Andy Robertson turut mengucapkan selamat tinggal kepada Liverpool selepas seri 1-1 menentang Brentford.

Kedua-dua pemain diraikan dalam suasana penuh emosi oleh rakan sepasukan serta legenda kelab, Kenny Dalglish dan Ian Rush.

“Saya rasa saya menangis lebih banyak daripada sepanjang hidup saya,” kata Salah.

Chelsea pula menutup kempen dengan kekalahan 1-2 kepada Sunderland, sekali gus menyebabkan pengurus baharu mereka, Xabi Alonso tidak akan membawa pasukan itu ke pentas Eropah musim depan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN