JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan maut selepas mengalami kecederaan parah akibat ditanduk seekor kerbau yang disediakan untuk ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 10 pagi.
“Mangsa yang berusia 45 tahun itu cedera parah sebelum akibat kejadian tersebut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital berkenaan pada pukul 11 malam, hari sama. Laporan bedah siasat mendapati sebab kematian berpunca daripada kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan hasil siasatan turut mendapati kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Sementara itu, beliau turut memberitahu seorang lagi lelaki tempatan turut cedera parah selepas ditanduk seekor kerbau dalam satu kejadian berasingan pada pukul 2 petang di Batu 19, Kampung Sungai Tiram.
“Mangsa yang juga berusia 45 tahun mengalami kecederaan patah tulang rusuk bahagian kiri dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila kerbau untuk ibadah korban itu tiba-tiba bertindak liar lalu menyerang mangsa.
“Kejadian ini turut tular di media sosial menerusi satu rakaman berdurasi 41 saat,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.










