PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan dua tapak khas bagi pelaksanaan ibadah korban warga asing termasuk komuniti Rohingya dan Bangladesh bagi memastikan aktiviti itu dilakukan secara terkawal.
Inisiatif itu melibatkan penyembelihan 155 ekor lembu dan kerbau di kawasan lapang bersebelahan Surau Nurul Huda Seri Mayang, Pandan Indah serta Taman Melur semalam (27 Mei lalu bersamaan 10 Zulhijah 1447H).
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban mematuhi piawaian kesihatan awam selain mengelakkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.
Menurutnya, pelaksanaan korban oleh warga asing itu turut dibuat dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) Malaysia.
“MPAJ mengambil inisiatif menyediakan tempat bagi pelaksanaan ibadah korban yang melibatkan warga asing di dua lokasi iaitu di kawasan lapang bersebelahan Surau Nurul Huda Seri Mayang, Pandan Indah dan di Taman Melur.
“Usaha ini juga dijalankan dengan kerjasama pihak UNHCR Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 81 ekor haiwan korban disembelih di Pandan Indah, manakala 74 ekor lagi di Taman Melur.
MPAJ turut menyediakan kemudahan di kedua-dua tapak termasuk khemah, sumber elektrik, bekalan air dan lubang sisa penyembelihan bagi memastikan aktiviti berkenaan berjalan teratur, bersih dan lancar.
Setiap haiwan korban yang terlibat didaftarkan terlebih dahulu dan dikenakan caj yuran penyertaan mengikut jenis haiwan.
Peserta juga bertanggungjawab terhadap pengurusan kebersihan, keselamatan serta peralatan digunakan sepanjang pelaksanaan ibadah korban itu, katanya.
Katanya, anggota Jabatan Penguatkuasaan MPAJ turut ditempatkan di lokasi bagi menjalankan pemantauan dan memastikan aktiviti berkenaan tidak menimbulkan isu kebersihan atau kacau ganggu.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Hasrolnizam Shaari turut hadir membuat pemantauan aktiviti korban warga asing di Taman Melur pada hari berkenaan. – UTUSAN










