Kebajikan kru, pelakon semakin tenat, tidak sangka industri jadi seteruk ini - Sarimah Ibrahim - Utusan Malaysia

Kebajikan kru, pelakon semakin tenat, tidak sangka industri jadi seteruk ini – Sarimah Ibrahim

Sarimah Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim, meluahkan rasa terkejut terhadap perubahan yang berlaku dalam industri seni tempatan yang didakwanya semakin ‘tenat’ sejak kembali aktif berlakon dua tahun lalu.

Sarimah, 48, berkata, pelbagai cerita kurang enak mula didengarinya sebaik membuat kemunculan semula menerusi drama Lelaki Itu pada tahun 2024 selepas berehat panjang daripada dunia lakonan.

Menurutnya, keadaan industri perfileman dan drama tanah air ketika ini dilihat semakin membimbangkan apabila timbul pelbagai isu membabitkan kebajikan kru produksi serta pelakon tambahan.

“Saya faham dan tahu banyak perkara sudah berubah selepas saya berehat panjang sebelum kembali dengan Lelaki Itu.

“Namun, saya tidak sangka industri kita boleh menjadi seteruk ini,” katanya menerusi perkongsian di platform Threads.

Dalam pada itu, Sarimah mendakwa ramai kru produksi dan pelakon tambahan menerima layanan tidak sewajarnya selain dibayar dengan kadar yang tidak setimpal.

“Ramai berkongsi cerita mengenai kru dan pelakon tambahan yang dibayar serta dilayan seperti sampah.

“Malah, ada juga pembikin filem memaklumkan kepada saya mengenai kewujudan pengulas yang didakwa mengugut produser untuk memberikan rating rendah sekiranya tidak menerima bayaran,” dakwanya.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan kewujudan ‘tangan ghaib’ yang dikatakan campur tangan dalam urusan produksi sehingga menyebabkan pihak tertentu menjadi mangsa keadaan.

“Pilihan dibuat oleh ‘tangan ghaib’, tetapi individu di hadapan pula dijadikan kambing hitam.

“Ke mana hilangnya adab, etika dan prinsip dalam industri ini?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN