Rumah Putih bina gelanggang UFC sempena kemerdekaan AS

Rumah Putih bina gelanggang UFC sempena kemerdekaan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rumah Putih mula membina gelanggang pertarungan UFC di South Lawn sebagai persiapan menjelang acara bulan depan sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat (AS).

Pekerja dilihat memasang struktur kubah dan kawasan pentas yang berdasarkan lakaran dalam talian akan membentuk gelanggang berbentuk oktagon dikelilingi pagar dawai serta ribuan tempat duduk sementara.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini berkata, projek itu akan menjadi ‘acara terbesar’ pernah dianjurkan UFC, dengan sebuah arena tepat di luar pintu depan Rumah Putih.

Acara yang dinamakan UFC Freedom 250 itu dijadual berlangsung pada 14 Jun, dengan UFC dilaporkan membelanjakan sekitar AS$60 juta (RM237.9 juta) bagi projek berkenaan.

Walaupun dipromosikan secara besar-besaran, acara itu hanya akan menampilkan dua pertarungan kejuaraan utama.

Petarung Brazil, Alex Pereira akan menentang Ciryl Gane dari Perancis bagi merebut gelaran sementara kelas berat UFC, manakala petarung Georgia, Ilia Topuria dijadual berdepan juara sementara semasa, Justin Gaethje dalam kategori kelas ringan.

Presiden UFC, Dana White sebelum ini berkata seramai 4,300 penonton akan menyaksikan acara itu di South Lawn, dengan kebanyakannya anggota tentera, manakala 85,000 tiket percuma akan disediakan kepada orang awam untuk menonton acara berkenaan di Ellipse Park yang terletak berhampiran.

UFC memaklumkan tiada tiket akan dijual secara umum kepada orang ramai.

Trump sebelum ini berkata terdapat permintaan tinggi terhadap tiket acara berkenaan, dengan menyatakan ‘saya tidak pernah melihat sesiapa begitu menginginkan tiket seperti ini’.

Promosi itu turut menawarkan pakej ‘high roller’ kepada beberapa tetamu VIP yang akan mendapat akses khas ke acara tersebut.

UFC tidak mengesahkan kosnya, namun menurut wartawan MMA Ariel Helwani, tetamu dilaporkan perlu membayar sekitar AS$1.5 juta (RM5.9 juta).

UFC berkata, ia tidak akan meraih keuntungan daripada acara itu, menurut syarikat induknya TKO Group Holdings, dengan presidennya Mark Shapiro menyifatkan penganjuran tersebut sebagai ‘pelaburan jangka panjang’.

Rumah Putih sebelum ini pernah menganjurkan acara sukan dan rekreasi, namun acara UFC ini bakal menjadi acara sukan profesional secara langsung pertama diadakan di kawasan tersebut.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN