KANGAR: Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kes kalimah Allah SWT dalam tokong di sebuah kedai alat perkakasan di sini, seperti yang tular sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, masyarakat juga dinasihatkan sentiasa menghormati sensitiviti agama dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama.
Beliau berkata, polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mengugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terlibat.
“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Nurin Afina M Bakri di talian 013-9179851 atau 04-9082222,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan berhubung penularan satu hantaran di laman sosial berkaitan kalimah Allah yang terdapat dalam sebuah tokong di kedai alatan perkakasan sekitar Jalan Kangar-Alor Setar, di sini.
Susulan itu, terdapat beberapa pihak tampil menggesa agar siasatan dijalankan berhubung kes itu yang disifatkan boleh mengugat keharmonian kaum dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim turut mengesahkan polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun yang merupakan pemilik kedai itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.
Yusharifuddin berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebut perkataan, membuat bunyi, membuat isyarat, atau meletakkan sesuatu objek di hadapan mata seseorang dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda, atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK 1955) kerana menggunakan perkataan kurang sopan, mengugut, melisankan perkaraan kesat atau menghina, atau berkelakuan dendan cara yang menghina dengan niat membangkitkan kemarahan dan boleh dihukum denda maksimum sebanyak RM100,” katanya.-UTUSAN










