PADANG BESAR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi mengawal dan memantau aktiviti penyalahgunaan petrol atau diesel bersubsidi di negara ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, menerusi penubuhan pasukan ini, rondaan berkala dan pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan sindiket-sindiket yang wujud di kawasan daerah Padang Besar.
Katanya, pemantauan itu turut meliputi kenderaan-kenderaan warga asing dalam mengesan sekiranya pihak terlibat mempunyai tangki tambahan bagi menjalankan kegiatan tersebut.
“Untuk Daerah Padang Besar, kita ada 11 stesen minyak secara keseluruhan dan satu stesen minyak tanpa subsidi dan saya dah arahkan untuk pantau semua stesen minyak ini.
“Kita mempunyai elemen-elemen kereta peronda (MPV) dan elemen trafik bagi melakukan pemantauan menerusi Ops Tiris 4.0 ini,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Padang Besar, di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 80 stesen minyak berhampiran kawasan sempadan negara ini akan ditempatkan anggota polis yang bakal ditugaskan memantau dan mengekang ketirisan serta penyeludupan petrol dan diesel.
Langkah tersebut diputuskan oleh Kabinet susulan krisis di Asia Barat yang menyaksikan lonjakan harga bahan api tersebut.
Mohd Shokri berkata, daripada maklumat disalurkan oleh pasukan petugas khas itu, polis juga akan bertindak melakukan serbuan sekiranya terdapat setor haram di mana-mana lokasi disyaki.
“Lokasi stesen minyak hotspot juga akan ditempatkan anggota secara stastik bagi memantau sebarang kesalahan berkaitan Budi 95 atau Akta Kawalan Bekalan 1961” katanya.
Katanya, buat masa ini, IPD Padang Besar juga belum melakukan sebarang tangkapan atau tindakan sejak pelaksanaan itu berjalan.
“Kita baharu sahaja bermula dan anggota-anggota terlibat juga sudah sedia maklum berhubung penugasan masing-masing,” katanya.-UTUSAN










