ISLAMABAD: Kegembiraan sebuah keluarga dari Perth, Australia yang pulang bercuti untuk menziarahi saudara-mara di Pakistan bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut akibat terkena tembakan polis.
Insiden malang itu berlaku di daerah Chakwal, wilayah Punjab, selepas pihak polis dilaporkan melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta sewa yang disangka kenderaan melarikan diri milik suspek rompakan barang kemas.
Mangsa, Hania Ahmed sedang dalam perjalanan bersama bapanya, Adeel Ahmed, ibunya, Dr. Sidra Khan serta saudara lelakinya, Aafan untuk melawat ahli keluarga mereka pada Rabu lalu.
Keluarga yang menetap di pinggir bandar Kewdale, Perth itu dilaporkan berdepan detik cemas apabila diserang dua lelaki bersenjata sebaik sahaja tiba di kediaman bapa saudara Sidra, Ali Ejaz.
Menurut Ali kepada media tempatan, perompak berkenaan meminta barang kemas menyebabkan keluarga tersebut terpaksa menyerahkan barangan berharga bernilai kira-kira AS$7,500 (RM30,433).
Kejadian itu dilaporkan disedari oleh seorang anggota polis yang kebetulan berada di lokasi, mencetuskan insiden berbalas tembakan dengan kedua-dua suspek sebelum mereka melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.
Bagaimanapun, situasi menjadi parah apabila sekumpulan anggota polis lain yang baru tiba di tempat kejadian bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah kereta yang dinaiki keluarga tersebut kerana menyangka ia dipandu oleh suspek.
“Apabila anggota polis melihat kenderaan itu dipandu pergi secara tergesa-gesa, mereka menyangka ia milik perompak lalu melepaskan tembakan rambang,” ujar seorang pegawai polis tempatan.
Meskipun dalam keadaan cemas dan cedera, Adeel sempat memandu kenderaan itu sehingga ke pintu pagar rumah saudaranya sebelum hilang kawalan lalu merempuh kawasan berkenaan.
Kesemua mangsa segera dikejarkan ke Hospital Ibu Pejabat Daerah, namun Hania disahkan meninggal dunia sejurus tiba.
Bapa dan abang mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Benazir Bhutto di Rawalpindi bagi menjalani pembedahan, manakala ibunya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Satu siasatan menyeluruh telah dilancarkan berhubung insiden berkenaan.
Media tempatan melaporkan Pegawai Polis Daerah (DPO) Chakwal, Kashif Zulfiqar telah melawat keluarga mangsa dan memberi jaminan akan mengambil tindakan undang-undang segera terhadap pihak yang didapati bersalah. – AGENSI










