KANGAR: Polis menahan seorang warga emas berusia 61 tahun bagi membantu siasatan membabitkan kes kalimah Allah SWT dalam tokong di sebuah kedai alat perkakasan sekitar Persiaran Jubli Emas di sini hari ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, lelaki itu dipercayai pemilik premis berkenaan ditahan pada pukul 3 petang bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan / 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK 1955).
“Polis juga memohon agar mana-mana pihak dapat menghentikan andaian atau provokasi dan memberi ruang untuk tindakan selanjutnya bagi menangani kes ini,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Muhammad mengesahkan polis menerima laporan mengenai kalimah Allah dalam sebuah tokong kecil di sebuah kedai perkakasan sebagai mana tular dalam media sosial.
Utusan Malaysia sebelum itu turut melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama seorang individu membuat laporan polis berhubung penularan video berkenaan.
Kata Muhammad, polis akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan laporan bagi mengenal pasti individu merakam video selain mengambil keterangan pemilik premis perniagaan itu.-UTUSAN










