RIGA: Perdana Menteri Latvia, Evika Silina, meletak jawatan pada Khamis selepas sebuah parti penting dalam gabungannya menarik balik sokongan susulan pertikaian mengenai dron Ukraine yang tersasar memasuki negara Baltik itu.
Dron berkenaan sedang menjalankan misi serangan merentasi sempadan di Russia, dan Ukraine berkata ia terhempas di wilayah Latvia pada 7 Mei selepas dialihkan secara elektronik oleh tentera Russia.
Satu daripada dron menyebabkan kebakaran di sebuah tapak simpanan minyak terbiar di timur Latvia.
Silina pada Ahad memecat Menteri Pertahanannya, Andris Spruds, berhubung insiden itu.
Beliau berkata, sistem anti-dron Latvia tidak digerakkan dengan cukup pantas untuk menangani pencerobohan dron tersebut.
Pemecatan Spruds mendorong sembilan sekutunya, yang juga anggota parti berhaluan kiri Progresif, keluar daripada gabungan pemerintah Silina dengan mendakwa beliau dijadikan kambing hitam.
Spruds secara rasmi meletak jawatan pada Isnin dan Silina mencalonkan seorang pegawai tentera sebagai penggantinya, namun calon itu ditolak oleh parti Progresif.
Penarikan sokongan itu menyebabkan kerajaan beliau hanya mempunyai 41 kerusi dalam parlimen 100 kerusi, manakala parti pembangkang berkata mereka akan mengemukakan undi tidak percaya hanya lima bulan sebelum pilihan raya legislatif.
Silina, daripada parti Unity, menjadi perdana menteri sejak September 2023.
Semasa mengumumkan peletakan jawatannya, beliau berkata, dalam satu sidang media: “Perkara paling penting bagi saya ialah kesejahteraan rakyat Latvia dan keselamatan negara kita.”
“Kita semua sedar tentang zaman yang sedang kita lalui. Perang kejam yang dilancarkan Rusia di Ukraine telah mengubah situasi keselamatan di seluruh Eropah,” katanya.
Presiden Edgars Rinkevics berkata, beliau akan bertemu pemimpin parti pada Jumaat untuk membincangkan pembentukan kerajaan baharu.
Sejak Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022, beberapa dron Russia dan Ukraine terhempas di Latvia, Lithuania dan Estonia. Sebuah dron Ukraine turut jatuh di Latvia pada 25 Mac.- AFP










